*SEBAHAGIAN peserta Himpunan Janji Bersih mengibarkan bendera merah putih pada perhimpunan haram itu ketika sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Ogos, 2012: Beberapa peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka malam tadi bertindak kurang ajar apabila mengibarkan bendera yang mereka dakwa akan menggantikan Jalur Gemilang jika pembangkang berkuasa.
Tindakan biadab dan mencemarkan kedaulatan negara itu dilakukan ketika sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan Ke-55.
Bendera merah putih seakan bendera Singapura itu dikibarkan di khalayak ramai termasuk pengedaran risalah menukar Jalur Gemilang kepada bendera tersebut.
Risalah tersebut jelas mengajak rakyat untuk mengatakan ‘tidak’ kepada Jalur Gemilang dan menyokong bendera merah putih itu.
Perihal kebiadapan peserta himpunan itu mula disebarkan media sosial termasuk video peserta yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut blog http://parpukari.blogspot.com, tindakan mereka khususnya golongan muda jelas menggambarkan sikap tidak menghormati perjuangan generasi lama dengan mempermainkan Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
‘‘Tahukah kamu semua, rakyat negara lain hormat bendera sampaikan mereka tidak mahu bendera tersentuh bumi. Begitulah hormatnya rakyat negara lain kepada bendera mereka.
‘‘Kita pula, bendera dihina pun kita diamkan sahaja? Kalau negara lain, sudah tentu yang menghina bendera akan dikenakan tindakan berat,’’ katanya.
Selain itu, blog http://www.papagomo.com melahirkan rasa kecewa dengan perlakuan biadab, jahil serta tidak berakal peserta himpunan terbabit.
‘‘Apa salah dengan bendera yang digunakan oleh rakyat Malaysia sejak merdeka lalu? Di mana cacat celanya bendera kita yang kita gelar Jalur Gemilang itu? Apa dosa menggunakan bendera itu dalam negara Malaysia ini?,’’ soalnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment