My Add

Sunday 2 September 2012

Tukar Jalur Gemilang idea sia-sia, rugikan semua

  Dr Awang Adek Hussin
BACHOK, AHAD,02 September, 2012: Tindakan pihak tertentu yang menimbulkan isu penukaran Jalur Gemilang dan tema kemerdekaan yang berbeza daripada yang ditentukan Kerajaan Persekutuan akan menimbulkan perpecahan dalam negara.

Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, tindakan itu tidak akan menguntungkan mana- mana pihak melainkan merugikan rakyat Malaysia semata- mata.

Beliau berkata, seharusnya semangat kemerdekaan ini dilakukan dengan menerapkan nilai patriotisme dan kesedaran bahawa Malaysia perlu disayangi dan dilindungi daripada perpecahan.

“Tindakan yang dibuat itu tidak akan menguntungkan sesiapa kerana apabila perpecahan berlaku, rakyat dan negara akan menanggung kerugian.

“Jika berlaku perpecahan, negara akan kucar kacir, tidak akan menarik minat pelabur untuk menjana ekonomi Malaysia sekaligus akan merugikan negara. Kita seharusnya memelihara keamanan yang ada dan menjadikan bumi bertuah Malaysia ini hak kesayangan kita,” katanya ketika berucap pada majlis Merdeka Raya peringkat Rukun Tetangga Gunung, semalam.

Beliau berkata, atas dasar untuk mengelakkan perpecahan itulah Kerajaan Persekutuan telah mewujudkan Rukun Negara pada ulang tahun kemerdekaan ke 13 pada 1970, yang berteraskan toleransi dan saling hormat menghormati antara pelbagai kaum.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Safidah Abu Samah dan Pengerusi Rukun Tetangga Teratak Pulai, Datuk Dr Ilias Husain.

Manakala, dalam ucapan Pengerusi Rukun Tetangga Gunung, Rosli Mat Dris berkata, rakyat Malaysia bertuah kerana masih mampu menyambut perayaan setiap agama dalam keadaan yang meriah dan harmoni.

Katanya, berdasarkan lawatannya ke beberapa buah negara Asia lain, umat Islam di sana terlalu daif dan tidak dapat menyambut perayaan seperti rakyat Malaysia yang cukup dan sempurna dari pelbagai aspek.

“Kita di sini termasuk dalam kawasan RT Gunung ini sangat bertuah kerana walaupun pelbagai kaum dan agama, kita masih boleh sama- sama meraikan pelbagai perayaan dengan meriah tanpa halangan.

“Nikmat ini terlalu besar dan perlu kita pelihara untuk diwariskan kepada generasi masa depan kelak,” katanya.

Difahamkan, dalam kawasan RT Gunung terdapat 165 pengundi Cina yang layak mengundi tidak termasuk remaja dan kanak- kanak. Penduduk kaum Tiong Hwa ini turut aktif dalam menjayakan aktiviti bersama RT Gunung. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment