My Add

Tuesday 25 September 2012

Zahid cabar Anwar dedah identiti penaja jet yang dinaikinya

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 September, 2012: 24 Sept. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan identiti pihak yang menaja jet eksekutif yang dinaikinya bersama beberapa pemimpin pembangkang lain dari Terminal SkyPark Subang bagi urusan ke Labuan, Sabah pada 15 September lalu.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, elaun yang diterima Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pasti tidak mencukupi untuk menampung kos sewaan jet tersebut.

Jelas beliau, kegagalan Anwar menyahut cabaran itu akan menyebabkan rakyat menganggap jet berkenaan ditaja oleh penyangak mata wang berketurunan Yahudi, George Soros.

‘‘Ia juga mungkin menyebabkan ada pihak berpendapat Anwar memiliki sumber kewangan yang besar hasil kekayaan semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu. Mungkin juga Kerajaan PKR Selangor yang terlibat dalam tajaan jet berkenaan.

‘‘Sekiranya Anwar mendakwa jet itu dinaiki secara percuma, kita ingin tahu siapa pemiliknya. Saya mencabar Anwar bersikap telus dalam isu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammad Zahid mengulas pendedahan blog http://mediawangsamaju.blogspot.com yang memetik kenyataan akaun Twitter Naib Presiden PKR, Tian Chua beberapa hari lalu mengenai jet eksekutif itu dinaiki Anwar dan beberapa pemimpin pembangkang lain ke Labuan dan Kota Kinabalu, dipercayai bagi menyambut perayaan Hari Malaysia.

Blog berkenaan turut memaparkan gambar Anwar bersama Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw; Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli; Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin; bekas Ahli Parlimen Kemaman daripada PKR, Abdul Rahman Yusof.

Sementara itu blog http://novandri.blogspot.com mendedahkan jet eksekutif tersebut dimiliki oleh Wells Fargo Bank Northwest di Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat (AS) manakala operasinya dikendalikan oleh Bresnan International Aviation di White Plains, New York dan kedua-duanya dipercayai mempunyai kaitan dengan Yahudi.

Menurut Muhammad Zahid, pendedahan blog terbabit turut menunjukkan Anwar sebagai seorang manusia yang tidak mampu menahan gelodak kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau memberitahu, sikap hipokrit Anwar semakin terserlah memandangkan pemimpin PKR itu sering bercakap tentang isu ketelusan, pembaziran wang rakyat dan perbelanjaan berhemah dalam ceramah-ceramahnya.

‘‘Saya amat bersimpati kepada penyokong-penyokong Anwar di dalam PKR yang sanggup bersusah-payah untuk pemimpin kesayangan mereka sedangkan pada hakikatnya, Anwar hidup dalam kemewahan.

‘‘Rakyat juga sewajarnya menilai sama ada Anwar layak menjadi Perdana Menteri. Saya khuatir penyelewengan yang lebih besar akan berlaku sekiranya Anwar diberi lebih banyak kuasa," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment