My Add

Thursday 29 August 2013

15 maut bangunan runtuh di Brazil, India

 *ANGGOTA pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari mangsa runtuhan bangunan sambil diperhatikan orang ramai di Sao Paulo, Brazil, kelmarin. - Reuters
SAO PAULO, RABU, 28 Ogos, 2013: Sekurang-kurangnya lapan terkorban manakala 25 lagi cedera apabila sebuah bangunan komersial dalam pembinaan, runtuh di sini semalam.

Penyelamat berkata, jumlah yang masih lagi terperangkap di dalam runtuh masih tidak diketahui dan usaha mencari akan diteruskan sehingga waktu malam.

Wartawan di lokasi kejadian melaporkan, seramai 35 orang buruh sedang bekerja ketika berlakunya runtuhan tersebut, dengan orang ramai yang melalui jalan itu juga dikhuatiri antara mangsa yang terperangkap.

Saluran-saluran berita turut memaparkan keadaan di lokasi kejadian yang menunjukkan pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari mangsa di dalam runtuhan.

Menurut pegawai penyelamat, bangunan dua tingkat yang bakal menempatkan kedai rangkaian pakaian jenama Torra Torra itu, mula dibina sejak tiga bulan lalu.

Punca runtuhan masih tidak diketahui, tetapi siasatan sedang dijalankan.

Kemalangan melibatkan bangunan dalam pembinaan atau bangunan usang, sering berlaku di Sao Paulo, yang juga pusat ekonomi Brazil.

Sementara itu, satu blok pangsapuri empat tingkat turut runtuh di bandar Vadodara, barat India awal hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan berbelas-belas lagi terperangkap.

Kejadian berlaku pada pukul 4 pagi waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) di kawasan Manjalpur, menurut pegawai pentadbiran kanan, Vinod Rao.

Setakat ini pasukan penyelamat berjaya menarik keluar lapan orang dan dipercayai terdapat 15 hingga 20 orang di dalam blok pangsapuri itu ketika kejadian berlaku. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment