My Add

Thursday 29 August 2013

Bantuan khas kepada 320,000 pekebun kecil

 *ISNAIL Sabri Yaakob menunjukkan sebiji buah durian yang merupakan raja buah dalam majlis Pelancaran Logo dan Buku Garis Panduan Skim Pensijilan MyGAP di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB
PUTRAJAYA, RABU, 28 Ogos, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang merangka satu mekanisme untuk menyalur bantuan kepada kira-kira 320,000 pekebun kecil di seluruh negara bagi menjalankan proses penanaman semula atau pemulihan tanaman buah- buahan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang melibatkan pemberian bantuan sebanyak RM6,000 hingga RM25,000 untuk sehektar itu akan diberi mengikut lokasidan bantuan yang diperlukan.

Berikutan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dijalankan bagi merangka mekanisme terbaik membantu pekebun kecil tersebut.

"Pekebun kecil yang mempunyai sijil Amalan Pertanian Baik atau dikenali MyGAP akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan bantuan itu nanti," katanya ketika berucap dalam majlis Pelancaran Logo dan Buku Garis Panduan Skim Pensijilan MyGAP di sini hari ini.

Menyentuh tentang MyGAP, Ismail Sabri berkata, pelancaran tersebut merupakan penjenamaan semula kepada skim pensijilan sedia ada iaitu Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) bagi subsektor tanaman, Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) (subsektor akuakultur) dan Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) (subsektor ternakan).

Katanya, penjenamaan semula itu diyakini mampu meningkatkan lagi jumlah ladang yang akan mendapat taraf pensijilan, sekali gus meningkatkan daya saing produk pertanian keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, buku garis panduan itu akan memberi penekanan terhadap aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial bagi memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 636 ladang telah mendapat status pensijilan MyGAP bagi sektor tanaman, 1,701 ladang (sektor ternakan) dan 24 ladang (sektor akuakultur).

Sehubungan itu, kementerian akan mempergiatkan usaha memupuk kesedaran kepada petani, peladang dan penternak untuk mendapatkan sijil MyGAP bagi menggalakkan pengeluaran produk pertanian yang berkualiti untuk kegunaan domestik dan pasaran eksport.

Pada majlis yang sama, Ismail Sabri turut merasmikan Program Bulan Khas Buah-Buahan 2013 anjuran Pusat Pembangunan Perniagaan Pertanian dan Makanan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment