My Add

Wednesday 28 August 2013

Buang ego, gabung satu parti etnik India

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Proses penggabungan parti politik kaum India di negara hanya dapat dilaksanakan sekiranya semua pihak yang berkepentingan melepaskan ego dan bersedia mengutamakan kepentingan masa depan masyarakat itu.

Penganalisis politik Anbumani Balan berkata, faktor kerjasama, tolak ansur dan pengorbanan merupakan tiga asas penting untuk membuka pintu perbincangan antara semua pemimpin parti India.

Beliau berkata, isu itu sudah dibangkitkan dari semasa ke semasa termasuk pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan kini bukanlah masa untuk menuding jari antara satu sama lain ataupun mahu menunjukkan kehebatan parti mana yang kuat.

Dalam percaturan politik, kita perlu akui pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan penerimaan dan penolakan sesebuah parti politik oleh masyarakat umum.

"Justeru, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dan perlu bersedia untuk melakukan dan menerima perubahan bagi menjamin harapan rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa semua parti politik kaum India di bawah BN bergabung membentuk satu entiti demi kebaikan kaum India di negara ini.

Tambah Anbumani, banyak parti politik alternatif muncul di negara ini disebabkan faktor tidak puas hati serta perpecahan dalaman sesebuah parti politik.

"Apabila parti-parti ini sebagai rakan BN, maka kepimpinan tertinggi BN juga perlu bersedia menerima hakikat bahawa segala proses penyatuan ataupun penggabungan memerlukan sokongan daripada semua pihak," katanya.

Anbumani mencadangkan MIC sebagai sebuah parti dominan yang mewakili masyarakat India, boleh membentuk satu jawatankuasa khas yang dinamakan majlis permuafakatan parti-parti politik kaum India dan dianggotai semua anggota parti politik yang lain.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat bahawa gabungan semua parti akan membolehkan mereka bekerjasama untuk kepentingan kebajikan dan kedudukan masyarakat India memandangkan populasinya sekitar 1.8 juta.

"Walaupun berbeza pendekatan politik kepartian, masing-masing boleh berganding bersama kerana matlamat akhir ada perjuangan untuk masyarakat India merentasi elemen ekonomi, sosial dan politik," katanya.

"Namun, cabarannya adalah untuk memastikan pengstruktruan parti dan kepimpinan serta kaedah yang mahu digunakan untuk mendekati para penyokong perlu diselaraskan," kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Makkal Sakti Malaysia turut mengulangi kesediaan untuk bergabung sebagai sebuah parti tunggal dengan parti lain yang mewakili kaum India bagi membantu dan memperjuangkan kepentingan kaum itu di negara ini.

Presidennya, Datuk R.S. Thanenthiran menyifatkan penggabungan itu penting kerana masyarakat India di negara ini memerlukan satu saluran berkesan bagi membantu perjuangan menyelesaikan masalah mereka.

Beliau berharap budaya berpuak-puak dan merebut jawatan yang sering kali berbangkit dalam parti politik lain, tidak berlaku sekiranya penggabungan itu direalisasikan kelak. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment