My Add

Wednesday 28 August 2013


\Dadah RM11.56 juta dirampas


Oleh MALINDA ABDUL MALIK
 
 *NOOR Rashid Ibrahim dan Abdul Rahim Hanafi (depan, kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dari sebuah makmal haram serta dari beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen di Georgetown, semalam.
PULAU PINANG, SELASA, 27 Ogos, 2013: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini dengan merampas dadah bernilai RM11.56 juta selepas menyerbu sebuah makmal memproses dadah di Lorong Madras, Jalan Macalister di sini semalam.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 5 petang itu turut membongkar sebuah makmal memproses dadah yang berselindung di bahagian belakang sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan.

Kejayaan tersebut diperolehi hasil kerjasama dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan JSJN negeri di beberapa lokasi sekitar Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah dan Jalan Macalister.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, tangkapan tersebut merupakan rekod rampasan terbesar sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak enam lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 46 tahun ditahan dalam operasi itu dengan tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah samun.

"Kita merampas 48.04 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 27.8 kg cecair syabu, 20.4 kg heroin, 35.5 kg kafien, 9.29 kg pil ekstasi, 8.7 kg syabu, 3.3 kg pil perangsang seks, 752 gram heroin base, 64g ganja, bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

"Selain itu kita turut menyita dua buah kereta milik suspek yang bernilai 60,660 dan wang tunai sebanyak RM30,660," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang Abdul Rahim Hanafi.

Jelas beliau, polis juga akan menjalankan siasatan di bawah Akta Pembekuan Harta bagi mengesan, merampas dan menyita harta yang dipercayai diperolehi daripada hasil pengedaran dadah tersebut.

"Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Tambahnya lagi, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat jika terdapat kegiatan pengedaran dadah di kawasan mereka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment