Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata ia berdasarkan modus operandi pembunuh yang menunggu di kawasan parkir berhadapan Tokong Kuan Yin itu, tempat mangsa dan isterinya meletakkan kenderaan sebelum bertemu seorang individu bergelar Datuk di tokong berkenaan.
Kes terbabit dipercayai ada kaitan dengan urusan jual beli hartanah sedang diuruskan mangsa, seorang warga Iran.
“Kita percaya penjenayah diupah untuk membunuh mangsa dan pembunuhan sudah dirancang lebih awal berdasarkan bukti di lokasi kejadian serta keterangan saksi. Selain itu, kita juga sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tokong berkenaan.
“Kita dapat rakaman jelas mengenai kejadian itu, wajah suspek yang melepaskan tembakan serta dua rakannya yang kita percaya adalah rakyat tempatan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Semalam, akhbar melaporkan Hussain mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan pada dada dan rusuk kiri ketika sedang berjalan ke tempat letak kereta bersama isterinya, Cheong Mei Kuan, 49. Wanita itu turut terkena tembakan di pergelangan tangan kiri dan paha kanan.
Sambil meminta masyarakat memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan, Mohmad berkata, pihaknya kini sedang membuat penelitian lanjut ke atas rakaman CCTV terbabit untuk mengenal pasti identiti ketiga-tiga suspek.
“Seramai tujuh saksi yang berada di tempat kejadian sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan, tapi polis belum mengambil keterangan isteri mangsa kerana dia masih dirawat di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur, namun dilaporkan stabil.
“Siasatan memberi tumpuan kepada setiap sudut kerana kita mempunyai ramai saksiPolis juga perlu memadankan setiap maklumat dengan bukti yang kita peroleh di tempat kejadian,” katanya. sambil menambah, polis juga masih menyiasat motif serta dalang sebenar pembunuhan itu. “Polis akan memanggil seorang individu bergelar Datuk yang dikatakan bertemu Hussain di tokong berkenaan sebelum mangsa dan isterinya ditembak,” katanya. - BH
No comments:
Post a Comment