My Add

Thursday, 1 August 2013

Perkukuh bidang kuasa polis tangani jenayah: PM

 I* STERI Hussain, Chong Mei Kuan tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat jenazah suaminya sebelum disembahyang di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam tadi.

PUTRAJAYA, RABU, 31 Julai, 2013: Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan semua keperluan kepada polis untuk meningkatkan keberkesanan membanteras jenayah, terutama jenayah berat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga bercadang membawa isu itu pada sesi Parlimen akan datang bagi mengkaji beberapa peruntukan yang boleh memperkukuhkan lagi bidang kuasa polis.

Katanya, tindakan segera yang boleh diambil ketika ini adalah menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan apa yang boleh dilakukan.


“Pada masa ini, satu jawatankuasa kecil (sudah ditubuhkan) terdiri daripada beberapa Menteri termasuk Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, khususnya membabitkan soal perundangan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara, di Kementerian Kewangan di sini semalam.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas pembunuhan Pengasas Arab-Malaysian Bank (sekarang AmBank Group), Hussain Ahmad Najadi, manakala isterinya cedera ditembak di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, berhampiran Tokong Kuan Yin, di Kuala Lumpur kelmarin.

Beliau berkata, jawatankuasa kecil itu akan berbincang bersama Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menentukan peruntukan perundangan tambahan bagi memerangi jenayah berat.

Katanya, kerajaan sedia menimbangkan permohonan dan kehendak polis asalkan ada jaminan tiada salah guna kuasa dan penyalahgunaan hak asasi manusia.
Najib bimbang senjata api

“Saya amat bimbang dengan perkembangan mutakhir pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku ketara. Ini menyentuh perasaan dan keyakinan rakyat serta menambah kebimbangan terhadap keselamatan dan berlakunya lebih kerap jenayah berat dalam negara.

“Oleh itu, polis perlu mengambil tindakan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap apa yang berlaku mutakhir ini,” katanya.

Sementara itu, Najib menolak dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada ‘tangan-tangan’ yang mempengaruhi keputusan hakim menolak petisyen pilihan raya baru-baru ini.

“Kerajaan tidak pernah campur tangan. Kita mesti yakin dengan keputusan mahkamah.

“Mahkamah juga yang membebaskan Anwar dulu. Jadi macam mana dia tidak yakin dengan sistem mahkamah negara kita,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment