My Add

Thursday 1 August 2013

Hargai jiwa perwira negara - KPN

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Seluruh rakyat, khususnya generasi muda perlu lebih memahami sejarah negara terutamanya pengorbanan keringat, darah dan nyawa para perwira dalam mempertahan kedaulatan tanah air.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada masa yang sama turut menyeru kepada seluruh masyarakat agar menanamkan semangat cintakan negara dengan sepenuh jiwa kerana itu adalah kunci kepada kekuatan bangsa.

Beliau juga mengajak semua pihak agar menjadikan peristiwa pencerobohan berdarah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah yang mengorbankan 10 anggota keselamatan negara sebagai pengajaran.

"Generasi pada masa kini dan akan datang perlu ingat pengorbanan yang dicurahkan perwira negara, baik yang sudah meninggal atau sedang berjuang. Fahami sejarah dan tanam semangat kecintaan kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin selepas Sambutan Hari Pahlawan 2013 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifeli memberitahu, insiden pencerobohan di Sabah memberi pengajaran kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan semua pihak agar jangan terlalu selesa dengan keamanan yang ada.

Katanya, jika semua pihak tidak berwaspada dan mengambil sikap sambil lewa kononnya keamanan yang dinikmati sekarang akan berkekalan hingga sanggup bertindak apa sahaja, tidak mustahil insiden sama boleh berulang.

Selain itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi tumpuan khusus dalam menangani ancaman pengganas Kiram.

"Kita tidak sangka penceroboh tidak bernegara mampu mengancam kedaulatan Malaysia serta insiden di Sabah sememangnya memberikan beberapa pengajaran, khususnya dari segi aspek memantapkan kesiapsiagaan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment