My Add

Thursday 29 August 2013

IPU di utara catat bacaan tidak sihat

 *PESAWAT Malaysia Airlines MH5440 selamat mendarat walaupun dalam keadaan jerebu ketika tinjauan di Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, Kedah semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri-negeri utara negara ini termasuk Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan bacaan tidak sihat.

Bacaan IPU menunjukkan beberapa kawasan mencatatkan 100 terutama di Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah dan Seberang Jaya, Pulau Pinang yang masing-masing mencatatkan 104 dan 100.

Selain itu, bacaan IPU di stesen di Universiti Sains Malaysia (USM) juga menghampiri paras tidak sihat iaitu 97 pada pukul 2 petang berbanding 95 (11 pagi).

Laman web Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah melaporkan bahawa bacaan di Bakar Arang berada pada paras 104 pada pukul 4 petang ini dan telah diklasifikasikan sebagai tidak sihat.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Langkawi dan Alor Setar telah direkodkan di bawah 100 iaitu sebagai sederhana.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Ismail Abu Taat berkata, orang ramai di sekitar negeri ini dinasihatkan untuk tidak mengadakan aktiviti di luar jika bacaan IPU meningkat.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk banyak minum air dan memakai topeng muka jika bacaan IPU menjadi sangat tidak sihat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Alam Sekitar negeri berkata, orang ramai boleh menyemak maklumat terkini tentang bacaan IPU di dalam laman web jabatan itu.

Katanya, orang ramai juga perlu mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu menjadi lebih teruk.

Semalam media melaporkan, cuaca berjerebu akibat aktiviti pembakaran hutan dan tanah gambut, kembali menyelubungi Riau. Indonesia sehingga mengganggu perkhidmatan penerbangan di wilayah itu sejak tiga hari lalu.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), berdasarkan pemantauan satelit sehingga kini, sebanyak 264 titik panas dikesan di Riau dan peningkatan jumlah titik panas itu adalah seiring dengan keadaan musim kemarau pada masa ini.

Jumlah titik panas itu juga hampir sama dengan jumlah yang dicatat pada 24 Jun lalu iaitu sebanyak 265 titik.

Dalam pada itu, mengikut maklumat yang dipaparkan di laman web Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, bacaan di stesen Perai juga menunjukkan peningkatan pada pukul 2 petang iaitu 86 berbanding 85 sebelah pagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment