My Add

Thursday 29 August 2013

Tiga ramuan pembangunan sesebuah negara

 *MUHYIDDIN Yassin bersama Alfred Jabu Numpang (dua, kanan) memotong kek pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, malam tadi. Turut serta barisan Kabinet Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (dua, kiri) dan Tan Sri Dr. James Jemut Masing. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUCHING, RABU, 28 Ogos, 2013: Kepimpinan stabil, kedudukan ekonomi kukuh dan rakyat yang mendokong perjuangan pimpinan sedia ada merupakan ramuan utama bagi membangunkan sesebuah negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kepemimpinan yang stabil dan ekonomi kukuh mampu merancang sesuatu kemajuan negara itu secara tersusun, tidak terencat dan tanpa sebarang halangan.

Katanya, rakyat yang mendukung kepimpinan sedia ada turut menjadi aspek penting dengan memainkan peranan dalam pembangunan modal insan negara.

"Oleh sebab itu, kerajaan telah menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang akan dilancarkan tidak lama lagi bagi mencapai agenda tersebut.

"Dalam pelan tersebut kita telah menggariskan bagi tempoh 13 tahun, taraf pencapaian pendidikan negara termasuk Sarawak dapat dianjakkan pada kedudukan yang lebih tinggi.

"Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana tidak memadai walaupun ramai anak-anak kita sudah berjaya hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi kerana kita mahu meletakkan pendidikan negara menjadi yang terbaik di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan barisan Kabinet negeri.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebagai asas memajukan modal insan, adalah perlu untuk negara melabur dalam bidang pendidikan negara dengan melatih anak bangsa dengan pelbagai ilmu.

Katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan anak-anak tersebut bukan sahaja menguasai bidang ilmu biasa tetapi bidang ilmu baharu bagi memajukan negara termasuk Sarawak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment