My Add

Wednesday 28 August 2013

Jerebu makin teruk, IPU di Riau di paras bahaya

JAKARTA, RABU, 28 Ogos, 2013: Jerebu yang melanda Riau di Pulau Sumatera sejak tiga hari lalu akibat pembakaran hutan dan tanah gambut, menjadi bertambah buruk hari ini sehingga Pekanbaru, ibu kota provisi Riau, diisytihar mencapai status bahaya apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencatat bacaan 300.

Ketua Bahagian Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan Riau, Dewani berkata partikel debu sisa kebakaran kini mencemari udara dan sangat berbahaya ketika dihirup oleh manusia.

Gejala gangguan kesihatan paling banyak yang diakibatkan oleh keadaan udara tercemar pada tahap itu ialah sakit mata dan sesak nafas hingga boleh mengakibatkan jangkitan saluran pernafasan, katanya sebagaimana dipetik agensi berita Antara, pada Rabu.

Berikutan perkembangan itu, pihak berkuasa meminta orang ramai mengurangkan aktiviti luar.

Dewani berkata Jabatan Kesihatan Riau sedang bekerjasama dengan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau untuk menangani masalah jerebu.

Katanya, Jabatan Pendidikan Riau telah dimaklumkan mengenai status udara yang semakin berbahaya di Pekanbaru dan sehubungan itu Jabatan Kesihatan juga menasihatkan supaya sekolah-sekolah ditutup sementara.

Mengikut data BPBD Riau, sejumlah 26,425 penduduk Riau terkena jangkitan saluran pernafasan sejak 6 Ogos lalu hingga sekarang.

Pencemaran asap di udara Riau turut menyebabkan 1,020 orang terkena sakit mata, 974 menderita asma dan 1,216 orang terkena radang paru-paru.

Cuaca berjerebu turut mengganggu perkhidmatan penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kassim II dan pagi ini sebanyak 10 jadual penerbangan komersil terpaksa ditunda kerana landasan terbang diselubungi jerebu.

Bagaimanapun ruang udara di lapangan terbang itu telah kembali pulih sehingga membolehkan sejumlah penerbangan mendarat dan berlepas secara normal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment