My Add

Thursday 29 August 2013

Maklumat 49 pertubuhan haram, kongsi gelap diumumkan hari ini

PUTRAJAYA, RABU, 28 Ogos, 2013: Kementerian Dalam Negeri akan mengumumkan maklumat 49 pertubuhan haram termasuk kongsi-kongsi gelap yang telah diwartakan selewat-lewatnya pada esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai pertubuhan haram itu akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Katanya, maklumat yang diumumkan itu akan meliputi nama pertubuhan dan lokasi utama kegiatan pertubuhan haram berkenaan.

"Saya telah menandatangani (dokumen berkenaan) pewartaan pertubuhan haram ini, kesemuanya ada 49 buah organisasi.

"Setelah diwartakan, nama dan lambang pertubuhan itu akan diharamkan. Mereka juga tidak dibenar menggunakan premis atau bergerak atas nama dan simbol berkenaan.

"Jika bersalah, mereka boleh dikenakan denda maksimum termasuk penjara lima tahun dan denda RM15,000," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Poland, Adam Waclaw Jelonek di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, kerajaan telah bersetuju untuk membeli perkakas persenjataan dari Poland bergantung kepada keperluan yang ada.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sebarang perubahan pada nama dan logo pertubuhan haram berkenaan akan dipantau oleh polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ditanya tentang jumlah ahli yang terdapat dalam 49 pertubuhan tersebut, beliau berkata, maklumat tersebut perlu diumumkan oleh polis.

Mengenai perkaitan pertubuhan haram dengan aktiviti perniagaan pula, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan Pendaftar Syarikat (ROC) untuk memantau perkara itu.

Tambahnya, pewartaan dan pengumuman senarai pertubuhan haram termasuk kongsi gelap tersebut telah mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Peguam dan pertubuhan pencegahan jenayah.

"Ini sebagai kempen kesedaran untuk mewujudkan rasa tanggungjawab semua pihak tentang kewujudan pertubuhan haram ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap dalam operasi besar-besaran nanti akan ditanggung oleh syarikat penyumberan luar yang bekerjasama dengan pihak kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi asing.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa kerajaan akan melancarkan operasi penahanan PATI secara besar-besaran mulai Ahad ini dan mereka yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal secepat mungkin bagi mengelakkan masalah kesesakan dalam pusat tahanan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment