My Add

Thursday 29 August 2013

Utusan Melayu tidak pernah berniat jahat

PULAU PINANG, RABU, 28 Ogos, 2013: Utusan Melayu (M) Bhd., tidak pernah berniat jahat ketika menyiarkan ucapan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyifatkan Mat Indera sebagai pejuang negara dan bukannya komunis yang mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berkata, hal ini kerana perkara itu diucapkan sendiri oleh Mohamad di hadapan orang ramai ketika berceramah di Kampung Padang Menora, Tasek Gelugor, dua tahun lalu dan bukannya direka oleh media.

Menurutnya, ucapan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu mendapat maklum balas meluas daripada orang ramai yang terkejut dengan pendiriannya yang dilihat bercanggah dengan fakta sejarah sebenar.

Aziz berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad selaku plaintif dalam perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Utusan Melayu.

Dalam kes itu, Utusan Melayu diwakili oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Mohamad memfailkan saman tersebut pada 21 Disember 2011 dengan menamakan Utusan Melayu dan Aziz sebagai defendan kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Johor.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pihak defendan dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel pada 27 Ogos 2011 dan dua bahan terbitan pada keesokannya yang berunsur fitnah.

Pernyataan pembelaan pihak defendan pula menyatakan bahawa penyiaran artikel-artikel tersebut adalah benar dan ulasan yang saksama serta diterbitkan berdasarkan perlindungan bersyarat.

Aziz berkata, walaupun Utusan terlebih dahulu menyiarkan berita tersebut, namun media lain kemudian turut melaporkannya secara meluas kerana isu tersebut melibatkan kepentingan awam.

Walaupun diasak berulang kali oleh Mohamed Hanipa, Aziz tetap menyatakan Mat Indera adalah pengganas komunis yang pernah memimpin Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam ceramah oleh Mat Sabu itu antara lain beliau menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah wira sebenar dan bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam bersambung 16 Disember ini. - UTUSAM

No comments:

Post a Comment