My Add

Tuesday 27 August 2013

Membeli Jalur Gemilang lebih murah dari sekotar rokok - Rais

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Semangat rakyat di negara ini untuk mengibarkan jalur gemilang semakin kurang walaupun harga bendera itu lebih murah daripada sekotak rokok.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu sangat mendukacitakan kerana pengibaran jalur gemilang merupakan satu cara untuk rakyat negara ini menzahirkan semangat patriotisme dalam diri mereka.

"Masalahnya ialah tiada perasaan dalaman dalam rakyat kita terutama yang sebahagiannya duduk di bandar.

"Kita juga dapati pelajar-pelajar kita tidak terlengkap dengan rasa cinta kepada negara menerusi perlambangan bendera Jalur Gemilang...bendera lambang yang paling mudah dan murah yakni hanya lapan batang rokok harga satu bendera kita boleh kibarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Profesor Emeritus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada bekas Rektor UIAM Kedua Dato Dr Abdulhamid Ahmad Abusulayman, di sini hari ini.

Rais berkata, semangat mengibarkan jalur gemilang perlu diterap ketika zaman persekolahan lagi sehingga ke institusi pengajian tinggi.

"Jadi disyorkan di sekolah-sekolah mesti ada penanam semangat ini baik di sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan," katanya.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Rais yang juga Presiden UIAM berkata, penganugerahan itu diwujudkan berdasarkan kecemerlangan Abdulhamid dalam tempoh 10 tahun menyandang jawatan Rektor UIAM.

"Banyak pembangunan dan kecemerlangan yang beliau telah lakukan antaranya dalam bidang akademik, sosial dan perancangan pembangunan UIAM.

"Khidmat cemerlang beliau juga dipenuhi dengan khidmat kemanusiaan yang sangat ketara misalnya beliau telah membantu pelajar miskin yang tidak mampu untuk membayar bayaran terakhir sebelum mendapatkan ijazah," katanya.

Manakala Abdulhamid ketika ditemui meluahkan kesyukuran menerima anugerah itu yang disifatkan satu penghargaan yang tinggi buatnya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment