My Add

Thursday 29 August 2013

MPA berjaya kurangkan pembakaran terbuka

Oleh Azrai Mohammad

RIAU, RABU, 28 Ogos, 2013: Langkah proaktif PT Minamas iaitu syarikat milik Sime Darby Berhad memperkenalkan pasukan Masyarakat Peduli Api (MPA) di ladang kelapa sawit miliknya di sini sejak awal tahun ini berjaya mengurangkan 60 peratus kes kebakaran ladang dan pembakaran terbuka di sekitar kawasan terbabit.

Ketua Operasi Perladangan Wilayah Sumatera Sime Darby Berhad, R. Karpanasamy berkata, MPA adalah pasukan bomba sukarela terdiri daripada penduduk setempat yang dibayar elaun bagi melakukan tugasan memantau, memadam serta memberi penerangan kepada masyarakat setempat maklumat berkaitan bahaya kebakaran di tanah gambut.

“Pasukan yang diperkenalkan ini bukan sahaja membantu memadamkan api sekiranya berlaku kebakaran, namun mereka juga berperanan menyampaikan maklumat mengenai bahaya pembakaran terbuka kepada penduduk kampung.

“Selain itu, mereka juga memberi maklumat kepada kita siapa yang melakukan pembakaran supaya boleh diambil tindakan," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan petugas media ke ladang syarikat itu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Ladang Riau Selatan dan Sumatera Selatan Sime Darby Berhad, Ahmad Sahfengi Mohd. Salleh dan Ketua Komunikasi Korporat PT Minamas, Inasanti Susanto.

Dalam lawatan tersebut pihak media dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dibawa melawat lima kawasan kebakaran di Wilayah Riau yang telah menyebabkan jerebu teruk dan berbahaya menyelubungi Malaysia, Singapura dan selatan Thailand pada Jun lalu.

Mengikut rekod, dalam tempoh antara 11 hingga 19 Jun sebanyak lima kawasan kebakaran dikesan oleh satelit yang didakwa melibatkan kawasan ladang kelapa sawit milik PT Bhumireksa Nusa Sejati (PT BNS) iaitu anak syarikat PT Minamas.

Bagaimanapun, penelitian terhadap data satelit dan pemeriksaan pasukan di lokasi mendapati lima kawasan kebakaran itu tidak melibatkan kawasan diusahakan oleh syarikat berkenaan sebaliknya kepunyaan penduduk kampung berhampiran.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kebakaran tersebut, Ahmad Sahfengi berkata, pihaknya sekali lagi menegaskan tiada kebakaran yang berlaku di dalam kawasan operasi mereka.

“Syarikat sememangnya telah lama mengikuti polisi kebakaran sifar dalam operasi. Di samping itu juga, kita melakukan kempen kesedaran bagi membantu semua pihak mengatasi isu yang berlaku setiap tahun ini," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment