My Add

Thursday 29 August 2013

Pemuda UMNO kesal syarikat enggan laksana skim gaji minimum

KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO kesal kerana masih ada majikan tempatan yang enggan melaksanakan skim gaji minimum berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, skim tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti negara dan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

"Jika ada majikan yang enggan melaksanakan atau merayu supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim itu, Malaysia tidak akan mencapai status negara maju pada 2020.

"Penguatkuasaan gaji minimum itu telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hasil perjuangan Sekretariat Pekerja Muda dan kesatuan-kesatuan sekerja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem semalam tentang tindakan kementerian menolak permohonan ratusan majikan tempatan yang meminta kerajaan menangguhkan syarat gaji minimum berkuat kuasa 1 Januari.

Permohonan paling tinggi adalah daripada syarikat yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) selain syarikat besar yang mendapat keuntungan jutaan ringgit setahun.

Menurut Nazir Hussin, kerajaan perlu bertegas dalam soal itu dan majikan mesti melaksanakan skim gaji minimum mulai 1 Januari 2014.

"Pemuda UMNO sedia maklum mengenai isu tambahan kos pengurusan kepada IKS terbabit tetapi ini cabaran yang perlu ditangani dengan bijaksana.

"Kita tidak boleh berada dalam keadaan yang tidak berubah jika ingin terus maju dan berdaya saing setanding dengan negara maju yang lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment