My Add

Thursday 1 August 2013

Ops Raya: 7,000 anggota bomba dan penyelamat bertugas


 * WANMohd. Nor Ibrahim (dua dari kanan) dan Awaludin Said (kanan) beramah mesra dengan Napsiah Kassim (kiri) dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Negara, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN, RABU, 31 Julai, 2013: Bagi memperkemas dan melicinkan operasi sepanjang musim perayaan kali ini, seramai 7,000 anggota bersama jentera masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan ditempatkan di beberapa lokasi dalam Ops Raya yang bermula esok sehingga 19 Ogos depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, pada Ops Raya kali ini pihaknya akan menempatkan anggotanya di 16 buah lokasi seluruh negara termasuklah tumpuan utamanya di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Malah katanya, bagi tujuan itu juga beberapa buah pusat statik akan diletakkan di sepanjang lebuh raya berkenaan bagi memastikan pihaknya dapat melaksanakan kerja-kerja memadam dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di kawasan berkenaan.

''Tujuan kita menempatkan pusat statik di lebuh raya itu bertujuan bagi mempercepatkan tindakan pihak bomba untuk melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan berkenaan ekoran pertambahan kenderaan di lokasi itu sepanjang musim perayaan," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Negara di Kampung Ulu Gadong, Kota dekat sini hari ini yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said.

Malah katanya, biarpun penumpuan diberikan di sepanjang lokasi tertentu, namun pihaknya juga turut memantau beberapa lokasi di kawasan lain yang mana anggota lain turut ditempatkan di balai bomba masing-masing.

Wan Mohd. Nor memberitahu, dalam usaha mempercekapkan lagi perkhidmatan jabatan itu, pihaknya dijangka menerima 200 kenderaan penyelamat dan paramedik (EMRS) dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya juga bakal menerima 30 unit tangki air yang berupaya menyimpan kapisiti air sebanyak 20,000 liter bagi tujuan memadamkan kebakaran di seluruh negara pada satu-satu masa.

''Ini adalah satu daripada usaha berterusan pihak bomba dalam mempercekapkan operasi kami kepada masyarakat dalam usaha memadam dan menyelamatkan mangsa dengan lebih pantas.

''Semua ini menelan belanja RM145 juta dan ia akan diterima secara berperingkat-peringkat kepada beberapa balai bomba di seluruh negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment