My Add

Thursday 1 August 2013

PDRM, ATM perlu alat canggih

Oleh ROSALINDA MD. SAID

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu diberi fokus khas terhadap keperluan penggunaan peralatan canggih dan berteknologi tinggi selaras usaha pasukan itu untuk memerangi jenayah berat yang semakin berleluasa kini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, langkah itu relevan bagi memastikan pasukan keselamatan negara boleh bertindak secara proaktif dan komprehensif setanding dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di negara maju.

"Kejadian pembunuhan menggunakan senjata api telah berlaku dengan begitu ketara kebelakangan ini.

"Sekiranya pasukan keselamatan memiliki keperluan dan peralatan yang canggih dan lengkap pastinya prosedur siasatan dapat berjalan dengan pantas serta tepat, sekali gus mengheret pesalah segera ke muka pengadilan," katanya selepas majlis berbuka puasa Gabem di sini malam ini.

Beliau mengulas kesediaan kerajaan untuk memberikan apa sahaja yang diperlukan oleh PDRM bagi menambah keberkesanan dan usaha pasukan itu memerangi jenayah, khususnya jenayah berat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, tindakan segera perlu dilakukan oleh polis untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap insiden pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Menurut Abdul Rahim, pelaksanaan itu bukan sahaja dapat meningkatkan mutu perkhidmatan pasukan keselamatan, malah memulihkan keyakinan rakyat, sekali gus memartabatkan masa depan negara sebagai destinasi pelancongan terkemuka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment