My Add

Thursday 1 August 2013

Pas Kelantan pecat ahli ikut fahaman Syiah

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU, RABU, 31 Julai, 2013: Pas Kelantan akan mengambil tindakan tegas dengan memecat mana-mana ahli parti itu sekiranya terdapat bukti mereka terlibat dalam menyebar dan menganut fahaman Syiah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, Pas memandang serius perkara tersebut dan tidak akan teragak-agak memecat mereka yang terlibat.

Beliau berkata, sebelum ini kepimpinan Pas juga telah menyebut mana-mana ahli parti itu yang berpegang kepada ajaran Syiah diminta keluar daripada Pas. Itu pendirian asas Pas sejak daripada dahulu.

Katanya, daripada segi agama, Syiah memang ditolak oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dan rakyat Malaysia serta ahli Pas sendiri sememangnya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ujarnya, Pas sejak daripada dahulu menolak fahaman Syiah ini memandangkan dari segi agama fahaman berkenaan jelas menyeleweng dan banyak kesilapan dalam akidah.

"Kalau ada bukti kita akan pecat mereka (ahli Pas) yang menganut fahaman Syiah, sekarang kita tidak mempunyai bukti di kalangan ahli Pas yang mengamalkan Syiah, walaupun terdapat tohmahan bahawa ada pimpinan dan ahli Pas ini yang mengamalkan Syiah.

"Kita tidak ada bukti jadi kita tidak boleh bertindak semata-mata di atas dakwaan dan tohmahan itu sahaja. Sehinga kini kita juga tidak ada laporan, kalau ada kita akan siasat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment