My Add

Thursday 1 August 2013

EQurban bina pusat penyembelihan halal pertama di Kemboja

KUALA LANGAT, RABU, 31 Julai, 2013: Syarikat tempatan yang berpengalaman menguruskan proses ibadat korban, EQurban Resources Sdn. Bhd. (EQurban) akan membina sebuah pusat penyembelihan halal pertama di Kemboja yang dijangka beroperasi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EQurban, Muhamad Khanafi Husin berkata, pembinaan pusat penyembelihan berhampiran Pusat Islam Kemboja itu membabitkan kos berjumlah kira-kira RM300,000 di kawasan seluas kira-kira lapan hektar.

Menurut beliau, syarikat tersebut juga akan membina kemudahan lain untuk golongan fakir miskin di Kemboja seperti kemudahan pendidikan dan pembangunan hospitaliti di tanah wakaf tersebut.

"Kita menyasarkan bantuan yang diberikan adalah selama tiga tahun dan sepanjang tempoh itu, umat Islam di Kemboja dapat belajar berdikari dalam meningkatkan taraf kehidupan masing-masing," katanya dalam Majlis Iftar EQurban bersama rakan niaga dan media di Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Mohammad Sahar Mat Din.

Dalam majlis itu, EQurban turut melancarkan sistem operasi baharunya, eQos bagi meningkatkan perkhidmatan pelanggannya supaya lebih efektif dan telus.

Muhamad Khanafi berkata, bantuan kepada masyarakat Islam di Kemboja kini dilanjutkan kepada fasa kedua memandangkan kira-kira tujuh peratus daripada 15 juta penduduk Islam negara itu merupakan fakir miskin.

Beliau berkata, bantuan itu adalah hasil sumbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan kepayahan hidup umat Islam di negara tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment