My Add

Wednesday 28 August 2013

Pastikan ekonomi negara kukuh

Oleh NUR HANANI AZMAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Jawatankuasa Dasar Fiskal akan mengadakan satu mesyuarat pada minggu hadapan bagi membincangkan kedudukan ekonomi semasa negara yang dilihat berada pada tahap mencabar.

Mesyuarat itu bakal membentangkan pelbagai inisiatif dan pilihan yang ada bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, kelembapan ekonomi dunia telah menjejaskan permintaan eksport negara yang merupakan tunjang kepada pertumbuhan ekonomi.

"Kami masih dalam proses mengenal pasti beberapa pilihan dasar khusus untuk membantu kerajaan memperbaiki kedudukan defisit fiskal negara.

"Beberapa pilihan dasar sedang diteliti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkannya tidak lama lagi," katanya selepas melancarkan Program Wakil Niaga Graduan 1000 (GRP1000) di bangunan Suruhanjaya Sekuriti (SC) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SC, Datuk Ranjit Ajit Singh.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Husni memberitahu, Bank Negara Malaysia (BNM) minggu lepas telah menyemak semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 5.6 peratus kepada 4.5 hingga lima peratus berikutan kelemahan berterusan ekonomi luar.

"Kelembapan tersebut adalah selaras dengan ramalan Laporan Bank Dunia 2013 yang menjangkakan KDNK global akan berkurang daripada 2.2 peratus.

"Bagaimanapun, Malaysia setakat ini masih bernasib baik kerana ekonomi dan kewangan negara kekal utuh sepanjang tempoh yang mencabar ini," katanya.

"Bagi suku pertama tahun ini, pelaburan meningkat sebanyak 44 peratus kepada RM49.3 bilion, jauh lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun lepas di mana pelaburan domestik telah menyumbang kepada 63 peratus.

"Pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM18.3 bilion daripada RM9.6 bilion pada suku yang sama tahun ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Ranjit Ajit Singh berkata, GRP1000 merupakan sebahagian usaha berterusan SC bagi membina kemahiran dan kebolehan industri untuk terus memacu perkembangan dalam pasaran.

"SC bersama penggiat industri menjalankan program khusus bagi melatih 1,000 graduan sebagai wakil niaga berlesen bagi pasaran modal dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment