My Add

Wednesday 28 August 2013

Peguam perlu maklumkan perkembangan kes saman Mat Sabu, Hadi terhadap Mashitah

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Peguam-peguam yang terlibat dalam kes saman fitnah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, dikehendaki memaklumkan perkembangan hasil mediasi antara mereka kepada Mahkamah Tinggi di sini pada 24 September ini.

Mohamad memfailkan saman fitnah pada 25 September 2012 setelah mendakwa difitnah oleh Mashitah menerusi kolumnya, Langit Terbuka dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Mac tahun lalu.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini.

Peguam Azhana Mohd. Khairuddin yang mewakili Mohamad memberitahu pemberita, pihaknya akan menghadiri proses mediasi yang akan dijalankan antara pihak yang terlibat dalam kes itu sehari sebelumnya, 23 September ini.

Bekas Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian, Kelantan itu dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, kata-kata fitnah tersebut antaranya menggambarkan beliau telah mendedahkan auratnya di hadapan seorang perempuan yang bukan mahram, melakukan perbuatan yang jijik, tidak bermoral dan pemimpin Islam yang rendah akhlaknya.

Tarikh pengurusan kes yang sama juga menurut Azhana, ditetapkan oleh mahkamah bagi kes saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Mashitah atas dakwaan difitnah menerusi kolum tersebut.

Abdul Hadi selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 18 September tahun lalu, menamakan Mashitah defendan pertama manakala penerbit dan pencetak akhbar Sinar Harian, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. (Sinar Karangkraf) dan Ultimate Print Sdn. Bhd. (Ultimate Print) masing-masing defendan kedua dan ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan Abdul Hadi antaranya mendakwa, Mashitah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam kolum beliau 'Langit Terbuka' yang kemudiannya diterbit dan dicetak oleh defendan kedua dan ketiga.

Dakwanya, kata-kata fitnah yang ditulis itu antara lainnya menunjukkan, plaintif seorang yang tidak bermoral dan tidak layak untuk menjadi pemimpin parti.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam pernyataan pembelaan pada 16 Oktober 2012 menafikan dakwaan beliau telah mengeluarkan kata-kata memfitnah Abdul Hadi kerana bagi Mashitah, kata-kata itu benar dari segi fakta dan merupakan komen berpatutan.

Tambahan pula, menurut beliau, kata-kata tersebut telah diterbitkan dalam tahun 2003 di dalam sebuah buku bertajuk: Letup: Isu-Isu Hangat Kelantan yang ditulis oleh Drs. Amnah Khuzairi namun tiada tindakan diambil ke atas penulis buku tersebut dan mana-mana pihak yang berkenaan oleh Abdul Hadi.

Mashitah juga dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 30 Oktober 2012 turut menafikan dakwaan yang beliau telah memfitnah Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment