My Add

Wednesday 28 August 2013

Berdepan hukuman gantung

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
 
 *CHE Rosli Che Daud ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat, semalam. - UTUSAN/ROSNI MASRI
TUMPAT, SELASA, 27 Ogos, 2013: Insiden letupan bom yang meragut nyawa seorang kerani sekolah berkesudahan dengan seorang anggota tentera berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh mangsa pada hari keempat sambutan Aidilfitri.

Che Rosli Che Daud, 29, dari Batalion 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Bharu kini berdepan hukuman di tali gantung setelah didakwa membunuh Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32.

Kejadian didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat di sini antara pukul 10 pagi dan 11 pagi, 11 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Che Rosli.

Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri menetapkan sebutan kes pada 1 Oktober ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kepada peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh.

Terdahulu, lelaki itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki kereta polis jenis Proton Waja dan kawalan keselamatan diperketatkan dengan kehadiran sekumpulan anggota polis di pekarangan mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum ketika gambarnya dirakamkan oleh pihak media.

Yang turut kelihatan ialah beberapa ahli keluarga anggota tentera terbabit.

Dalam kejadian 11 Ogos lalu, kerani terbabit maut dengan kedua-dua tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya.

Mohd. Yusrizal yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu dan dendam kerana isteri suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan salah seorang keluarga mangsa yang juga anggota pasukan keselamatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, suspek kedua yang merupakan jiran mentua mangsa dan suspek ketiga iaitu seorang lagi anggota tentera yang direman sebelum ini masing-masing dibebaskan tanpa syarat.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nik Habri Muhamad.

Suspek kedua yang merupakan buruh bersama rakannya itu yang berpangkat koperal sepatutnya direman sehingga 31 Ogos ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, jiran mentua mangsa itu akan dijadikan saksi untuk menguatkan kes ini.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya jangan buat yang bukan-bukan kerana pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar jenayah. Siasatan kes ini telah selesai dan tunggu perbicaraan nanti," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment