My Add

Thursday 1 August 2013

Penembak pengasas AmBank dikenal pasti - Polis

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013:: Suspek yang menembak pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, 75, sehingga maut telah dikenal pasti susulan penahanan seorang pemandu teksi di Sri Petaling di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek yang dikenali sebagai Sci Ngan Zai atau Ah Chian itu kini sedang diburu dan pihaknya meminta orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai penembak itu.

"Menurut maklumat yang kami terima, suspek berkenaan dipercayai selalu bergerak di Taman Maluri, Cheras," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai pemandu teksi itu, beliau berkata suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira 12 malam semalam, dan telah disiasat bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Suspek adalah pemandu teksi yang membawa penembak berkenaan dari tempat kejadian," katanya.

Beliau juga berkata pihaknya akan memanggil individu terakhir yang berjumpa Hussain Ahmad dan isterinya di tokong berkenaan untuk diambil keterangan.

Dalam kejadian dua hari lepas itu, Hussain Ahmad maut manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah kuil Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment