My Add

Thursday 1 August 2013

Pertumbuhan ekonomi NS terbaik

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

 Mohamad Hasan
SEREMBAN, RABU, 31 Julai, 2013: Negeri Sembilan merekodkan pertumbuhan ekonomi paling cemerlang sejak 2007 dan antara yang terbaik di negara ini selepas mencatat 6.2 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu di luar jangkaan memandangkan kerajaan negeri meletakkan sasaran KDNK tahun lalu hanya pada kadar 5.9 peratus.

"Laporan yang diterima daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri amat mengejutkan saya kerana kadar pertumbuhan ekonomi negeri ini iaitu sebanyak 6.2 peratus adalah jauh lebih baik daripada yang disasarkan," katanya.

Mohamad berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Kadar pertumbuhan ekonomi negeri ini pada 2007 ialah 5.2 peratus manakala pada 2008 (4.3 peratus) dan pada 2009, kerajaan negeri berjaya mengapungkan ekonomi ketika negara berada dalam krisis pada kadar 0.9 peratus.

Pada 2010 pula, kerancakan ekonomi negeri ini kembali diperkasa dan menyaksikan pertumbuhan KDNK pada kadar 5.6 peratus dan mencatat 5.2 peratus pada 2011 sebelum melonjak luar biasa pada kadar 6.2 peratus tahun lalu.

Menurut Mohamad, perkembangan itu mendorong komitmen kerajaan negeri untuk terus berada dalam landasan ekonomi baik bagi memastikan kadar pertumbuhan KDNK negeri mencatat paras lima peratus atau lebih baik secara berturut-turut sehingga 2016.

Tambah beliau, pertumbuhan 6.2 peratus KDNK tahun lalu disumbang melalui beberapa sektor yang diperkasa dengan sektor pembinaan menjadi penyumbang paling tinggi.

Dalam masa sama, katanya, menurut Mesyuarat Kewangan Negara, negeri ini merupakan antara yang mempunyai kedudukan kewangan mantap dan teguh dengan rizab tunai sehingga Disember tahun lalu berjumlah RM509 juta. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment