My Add

Thursday 1 August 2013

Abdul Malik digesa bantu penerima zakat

PULAU PINANG, RABU, 31 Julai, 2013: Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim diminta campur tangan dalam isu 76 orang penerima zakat daripada kariah Masjid Alma, Bukit Mertajam yang belum menerima bantuan tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, selaku individu yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam di negeri itu, Abdul Malik harus memainkan peranan dengan berkesan bagi memastikan nasib penerima zakat itu terbela.

"Kasihanilah mereka yang memerlukan wang zakat berkenaan untuk digunakan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Saya berharap perkara ini tidak dibiarkan berlarutan dan dapat diselesaikan secara muzakarah sempena Ramadan yang mulia ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas nasib malang 76 penerima zakat bagi kariah Masjid Alma di Bukit Mertajam yang tidak dapat menerima wang zakat tahun ini kerana jawatankuasa masjid berkenaan yang terpilih dalam pemilihan pada April lepas digantung oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Akibatnya, jawatankuasa berkenaan yang diketuai Mohd. Noor Ibrahim tidak dapat menjalankan tugas mereka termasuk mengeluarkan wang berjumlah lebih RM30,000 di bank untuk diagihkan kepada penerima.

Mengulas lanjut, Musa yang juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, dalam hal tersebut, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Salleh Man selaku Yang Dipertua MAIPP juga perlu turun padang untuk meninjau permasalahan terbabit. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment