My Add

Wednesday 28 August 2013

PR1MA Corp lulus 15 projek rumah mampu milik

PETALING JAYA, RABU, 28 Ogos, 2013: PR1MA Corp telah meluluskan pembinaan sebanyak 20,000 rumah di bawah 15 projek perumahan mampu milik di Greater Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata projek-projek itu menepati garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta PR1MA 2012 dan fasa pertama telah diluluskan bagi pembinaan.

Beliau berkata 15 pembangunan baharu itu akan bermula di bawah Fasa Satu program perumahan PR1MA yang diadakan khusus untuk menyediakan perumahan mampu milik berkualiti bagi kumpulan berpendapatan sederhana yang tinggal di kawasan-kawasan bandar di negara ini.

"Walaupun kami telah mengenal pasti banyak projek di kebanyakan kawasan bandar, namun kami akan hanya memilih projek yang menepati garis panduan pembangunan untuk menjadi sebahagian daripada program PR1MA.

"Saya yakin menjelang akhir tahun ini, kami akan terima lebih banyak lagi untuk menampung 80,000 rumah PR1MA seperti yang diumumkan dalam Bajet 2013," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Harga dan pelan lantai akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, kata Abdul Mutalib sambil menambah bahawa rumah-rumah itu akan dijual pada harga serendah RM150,000 hingga maksimum RM350,000.

Kerja-kerja dalam tiga projek telah pun bermula di Alam Damai, Pasir Gudang dan Seremban, katanya.

Projek Alam Damai ialah pembangunan pertama yang dilaksanakan di bawah rancangan PR1MA untuk membina 50,000 rumah di semua lokasi strategik di Lembah Klang, termasuk Cheras, Bukit Jalil, Sungai Besi, Brickfields, Jelatek, Glenmarie, Putra Heights, Cyberjaya dan Setapak.

Abdul Mutalib berkata beliau yakin sambutan terhadap projek-projek ini positif kerana lokasinya strategik.

"Saya ingin menggalakkan pembeli rumah yang layak dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM2,500 hingga RM7,500 mendaftar di laman sesawang kami," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment