My Add

Thursday 1 August 2013

RM1.72b biaya Program Bantuan Rumah

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.72 bilion untuk membiayai Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara sejak tahun 2000 hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, bantuan itu membolehkan sebanyak 193,534 unit rumah dibaik pulih untuk golongan miskin dan miskin tegar.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan PBR bagi mereka yang layak boleh dikemukakan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Pejabat Daerah berkaitan.

"Bantuan ini sebahagian daripada misi kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan negara di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR)," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Pau Chiong Ung yang bertanyakan jumlah kewangan untuk Program Bantuan Rumah serta sama ada kerajaan berhasrat meluaskan skop pendaftaran e-Kasih kepada kakitangan kerajaan kontrak yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Berhubung pendaftaran e-Kasih, Alexander berkata, pendaftarannya terbuka kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang layak tanpa mengira status pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau persendirian.

"Pendaftaran e-Kasih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui pegawai daerah, JKKK, wakil rakyat atau ketua kaum masing-masing," katanya mengulas mengenai e-Kasih yang merupakan bank data kemiskinan nasional merangkumi profil individu, permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program bantuan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment