My Add

Wednesday 28 August 2013

Seludup syabu guna bot nelayan

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

 *ABD. Aziz Abdul Latif (tengah) bersama pegawai kastam menunjukkan ketulan dadah jenis syabu yang dirampas di Sungai Kedah berhampiran Jeti Penumpang Kuala Kedah pada Jumaat lalu, dalam sidang akhbar di Alor Setar semalam.
ALOR SETAR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Kastam menggagalkan taktik satu sindiket yang cuba menyeludup 25 ketul hablur kristal disyaki syabu bernilai lebih RM4.9 juta dengan menggunakan sebuah bot nelayan, selepas diserbu sepasukan Kastam berhampiran jeti penumpang Kuala Kedah di sini Jumaat lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan Unit Marin Cawangan Penguatkuasaan Langkawi di Sungai Kedah kira-kira pukul 3.30 pagi, yang bertindak hasil maklumat awam.

Bagaimanapun tiada individu ditahan ketika serbuan.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abd. Aziz Abdul Latif berkata, hasil pemeriksaan di dalam bot itu menemukan empat bungkusan ketulan hablur kristal seberat 26.2 kilogram yang dipercayai syabu.

"Kesemua dadah itu diletakkan di bahagian tepi bot dan ditutup dengan kotak ikan. Ketika serbuan tiada sesiapa di atas bot yang ditinggalkan dengan keadaan enjin masih hidup.

"Mungkin menyedari diekori menyebabkan mereka sempat melarikan diri di ke daratan dan masuk ke kawasan hutan berhampiran," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abd. Aziz berkata, pihaknya kini dalam usaha mengesan pemilik bot tersebut yang bernombor pendaftaran Kedah.

"Kita syak di dalam bot itu ada dua orang dan berdasarkan cara bungkusan yang dibuat berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes penahanan seorang lelaki di Terminal Bas Shahab Perdana minggu lalu," katanya.

Beliau berkata, dadah itu juga berkemungkinan untuk dibawa ke pasaran negara jiran.

Ujarnya, kejayaan itu merupakan tangkapan pertama yang dibuat pada tahun ini yang menjadikan sungai sebagai laluan membawa keluar dadah.

Dalam pada itu, Abd. Aziz berkata, setakat ini sebanyak sembilan kes tangkapan telah dibuat berhubung penyeludupan dadah dengan berat sebanyak 84.24 kg dan nilai RM14,648,205.

"Tahun lepas pun sembilan kes namun beratnya lebih rendah iaitu 22.78 kg dengan nilai berjumlah RM6,955,360," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment