My Add

Wednesday 28 August 2013

SPAD sokong usaha Melaka guna bas elektrik

 *IDRIS Haron menandatangani plak selepas merasmikan pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat negeri Melaka sambil diperhatikan Syed Hamid Albar (dua dari kiri) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh, semalam.
MELAKA, SELASA, 27 Ogos, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyokong usaha kerajaan negeri untuk menyediakan perkhidmatan bas elektrik sebagai pengangkutan awam selaras dengan matlamat negeri itu ke arah mencapai bandar teknologi hijau.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya melihat usaha itu sebagai sebahagian daripada transformasi dalam pengangkutan awam dan bakal menjadi negeri pertama yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Menurutnya, SPAD akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyediakan pelan teknikal terhadap apa jua usaha menambahbaik perkhidmatan awam di negeri ini.

"SPAD akan turut terlibat serta bersama kerajaan negeri dalam segala perancangan sistem pengangkutan awam darat agar menjadi pilihan utama dan terbaik di mata penduduk tempatan dan pelancong asing.

"SPAD juga akan sentiasa menyokong segala usaha penambahbaikan yang dirancang oleh kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah sistem pengangkutan yang mantap dan berprestasi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat SPAD negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Ir. Idris Haron.

Turut hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal dan Pengerusi Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Sementara itu, Idris berkata perkhidmatan bas elektrik itu dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya penghujung Januari tahun hadapan.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, sebanyak lima buah bas elektrik akan beroperasi dan ditambah secara berperingkat bagi menggantikan bas sedia ada.

"Kerajaan negeri akan berusaha supaya perkhidmatan bas ini beroperasi menjelang Tahun Baru Cina tahun hadapan iaitu pada penghujung Januari yang pada masa itu kehadiran pelancong ke negeri ini dijangka meningkat.

"Setakat ini kita sedang menilai beberapa aspek teknikal dan kejuruteraan supaya operasi bas elektrik berkenaan dapat berjalan lancar," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment