My Add

Wednesday 28 August 2013

Jangan campur urusan Islam

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

 
 
IPOH, SELASA, 27 Ogos, 2013: Pemimpin pembangkang yang bukan beragama Islam diminta tidak mencampuri urusan agama Islam semata-semata kerana ingin menarik perhatian dan sokongan daripada kaum dan penganut agama tertentu.

Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) berkata, tindakan sedemikian termasuk membela pihak-pihak tertentu yang berusaha memurtadkan umat Islam bukan satu perbuatan yang bijak kerana telah menarik isu sensitif ke dalam polemik politik.

Katanya, isu agama apabila disentuh oleh orang politik apatah lagi dalam kalangan bukan seagama hanya akan memburukkan situasi dan boleh mengancam ketenteraman negara.

"Apabila ada individu tertentu menghina ibadah puasa umat Islam dengan mengiklankan makanan yang haram sambil mengucapkan selamat berbuka puasa, tidak wajarlah pemimpin politik campur tangan apabila tindakan dikenakan terhadap individu berkenaan kerana ia secara jelas mahu menghina kesucian sesebuah agama.

"Begitu juga apabila seorang pemimpin politik bukan Islam mempersendakan tindakan umat Islam di negara ini membuat bantahan secara aman terhadap pihak tertentu yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan kenyataan seolah-olah satu kerja membuang masa dan menghabiskan tenaga boleh mengguris perasaan umat Islam," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Kali Ke-13, di sini hari ini.

Semasa merasmikan Sidang DUN Perak semalam, Raja Nazrin mengingatkan mana-mana pihak berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun reaksi terhadap sebarang perkara yang menyentuh keagamaan, sekali gus mahu setiap pengucapan dan tindakan harus diambil berlandaskan kepada fikiran rasional.

Jelas Mohd. Khusairi, pemimpin politik sewajarnya berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang dijadikan asas perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak sekian lama.

Ujar beliau, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi di negara ini dan agama-agama lain bebas untuk diamalkan.

"Tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam yang sejak kebelakangan ini begitu ghairah menarik sokongan orang Islam terhadap partinya dengan membaca dan mentafsirkan ayat al-Quran secara janggal dan tidak tepat juga dilihat seperti memperolok-olokan agama suci ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Khusairi memberitahu, UMNO menerima undi paling popular di Perak pada pilihan raya umum lalu apabila meraih kira-kira 30.73 peratus atau sebanyak 357,800 undi daripada keseluruhan 1.14 juta rakyat yang mengundi.

Katanya, parti paling hampir adalah DAP yang memperoleh sokongan sebanyak 23.2 peratus daripada pengundi negeri ini.

"Bukankah DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding atas lambang masing-masing. Jika perkiraan undi popular dikira daripada lambang parti yang bertanding, Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti bertanding menggunakan satu lambang, jauh mengatasi DAP, Pas dan PKR daripada segi undi popular," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment