My Add

Thursday 1 August 2013

Suami isteri bebas tuduhan pecah amanah

 * AZMAN Abdul Aziz (kanan) bersalaman dengan Johari Ahmad sambil diperhatikan Aishah Mohamed Rose apabila ketiga-tiga mereka dibebaskan atas tuduhan pecah amanah oleh Mahkamah Sesyen, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG, RABU, 31 Julai, 2013: Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan membawa makna begitu besar buat bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada lima tuduhan pecah amanah membabitkan wang RM14.2 juta.

Tambah menggembirakan Aishah Mohamed Rose, 52, ialah apabila suaminya, Johari Ahmad, 56, dan seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn. Bhd., Azman Abdul Aziz, 51, masing-masing turut dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengannya melakukan jenayah berkenaan.

Hakim Zainol Rashid Hussain membebaskan Aishah dan dua lagi tertuduh terbabit tanpa memanggil mereka membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes tersebut.

Malah dalam keputusannya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan juga gagal membuktikan wujud elemen unsur kesalahan pecah amanah seperti dalam pertuduhan.

Aishah didakwa atas lima tuduhan pecah amanah dan bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap urusan penguasaan dan perjalanan ke atas wang tunai RM3,363,936.94 milik bank tersebut

Wanita dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas di sini turut didakwa melakukan empat lagi tuduhan serupa membabitkan wang RM3,679,939.54; RM2,889,878.99; RM2,490,758.40 dan RM1,780,852.64.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009 di bangunan USM, Jalan Minden di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta denda.

Johari dan Azman pula didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun serupa iaitu bersubahat dengan Aishah melakukan pecah amanah RM14,205,336.51 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Selain itu, mahkamah turut membebaskan Azman daripada 10 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM988,464.32 yang didakwa dilakukan tertuduh antara 17 April dan 14 Julai 2009 di Motorola Technology Sdn. Bhd, di Bayan Lepas, dekat sini.

Azman didakwa melakukan kesalahan itu dengan memindahkan 10 keping cek milik Citibank yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, M. Puveneswaran dan Pang Chuin Keat manakala Aishah dan Johari diwakili peguam Md. Yusuf Md. Idris sementara Azman pula diwakili peguam Zamri Idrus. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment