My Add

Thursday 1 August 2013

Perolehan BioNexus RM3b

Oleh NUR NAZLINA NADZARI dan FAIRUS KASSIM

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) menyasarkan perolehan keseluruhan 224 buah syarikat berstatus BioNexus mampu melepasi RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nazlee Kamal berkata, jangkaan tersebut merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding sekitar lebih RM2 bilion dicatatkan sejak beberapa tahun ini.

Katanya, kebanyakan syarikat berkenaan mula menunjukkan perkembangan daripada syarikat kecil kepada sederhana dan mula menerokai pasaran antarabangsa.

"Syarikat-syarikat tersebut juga mula menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Perolehan ini dijangka mampu terus berkembang dengan pertambahan beberapa lagi syarikat berstatus BioNexus. Masalah utama ketika ini adalah dana untuk memulakan perniagaan dan kami sedang berusaha mengatasinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena penganjuran persidangan dan pameran BioMalaysia & Bioeconomy Asia Pacific 2013 bermula 21 hingga 23 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor, di sini hari ini.

Mohd. Nazlee berkata, BiotechCorp. juga menjangkakan dua buah syarikat BioNexus akan disenaraikan tahun hadapan sama ada di dalam atau luar negara.

"Setakat ini, empat buah syarikat telah disenaraikan dan ini penting untuk membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi," jelasnya.

Sementara itu mengulas mengenai penambahan bilangan syarikat BioNexus, beliau berkata, buat masa ini sebanyak 12 buat syarikat sedang dinilai dan keputusan menganugerahkan status berkenaan akan diumumkan nanti.

Dalam masa yang sama, Mohd. Nazlee turut mendedahkan bahawa BiotechCorp telah berjaya melepasi sasaran awal untuk menarik RM1.7 bilion pelaburan tahun ini dan setakat ini jumlah yang direkodkan hampir mencecah RM2 bilion.

"Kami menjangka pelaburan mampu melepasi angka RM3 bilion buat pertama kali pada tahun ini dengan sebahagian daripadanya disumbangkan oleh pelabur tempatan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment