My Add

Thursday 1 August 2013

TLDM mantapkan kawalan

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggerakkan lebih banyak aset kapal permukaan bagi mengawal perairan pantai timur Sabah sepanjang musim perayaan ini agar tidak berlaku sebarang aktiviti pencerobohan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, penambahan aset permukaan oleh TLDM itu bagi memantapkan lagi ketumbukan sedia ada dalam memastikan keselamatan perairan negara terjamin.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas sama ada penambahan aset tersebut ada kaitan dengan kemungkinan wujud ancaman pencerobohan terbaharu oleh kumpulan pengganas Kiram pada musim perayaan ini atau sebaliknya.

"TLDM telah hantar lebih banyak aset di perairan pantai timur Sabah. Kita naikkan sedikit. Ini sebagai tambahan kepada rondaan TLDM, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim), Polis Marin dan pesawat rondaan maritim," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas Sambutan Hari Pahlawan 2013 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khalid ketika ditanya tentang perkembangan siasatan terhadap tiga pemimpin pembangkang yang dikenal pasti sebagai dalang kepada insiden pencerobohan berdarah di Sabah berkata, proses siasatan sedang berjalan.

Katanya, polis perlu mengambil sedikit masa dalam menyiasat penglibatan tiga pemimpin pembangkang tersebut kerana mahu memastikan apabila mereka dihadapkan ke mahkamah kelak, semua bahan bukti tersedia sepenuhnya.

"Bila siasatan lengkap, kita akan umumkan apa tindakan. Siasatan polis tiada titik noktah, kita akan terus kumpul bukti, bila siap sedia, kita bawa ke mahkamah. Bagi kes sebegini, tiada had masa dan kalau perlu kita panggil mereka," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment