My Add

Thursday 29 August 2013

Usah layan cubaan halang PPPM

Oleh MD. AZRIN ROSLY

KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Sebarang usaha untuk menolak atau menggagalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak perlu dilayan demi kepentingan negara.

Tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, sekiranya permintaan pihak tertentu dilayan, sudah tentu tujuan sistem pendidikan negara tidak akan tercapai.

"Terdapat tiga garis panduan penting dilihat dalam sistem pendidikan negara iaitu pertama bertujuan bagi menyatupadukan rakyat kerana melalui pendidikan rakyat negara berbilang kaum dan agama dapat disatukan, sehubungan itu usaha yang memecah-belahkan rakyat tidak perlu dilayan sama sekali.

"Kedua, pendidikan mengutamakan kenegaraan dengan penerapan semangat nasionalisme yang berpegang teguh pada Perlembagaan dan Rukun Negara serta nilai budaya nasional. Jika bercanggah dengan ini, tidak perlu dipedulikan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas resolusi Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan yang memperingatkan kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu.

Semalam, kongres itu juga meminta kerajaan berhenti melayan tuntutan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta perundangan berkaitan.

Resolusi mengandungi 10 perkara merupakan rumusan daripada usul-usul yang dibentangkan berhubung PPPM 2013-2025 dalam lima sidang selari yang dianjurkan sempena kongres tersebut pada 21 Ogos lalu dan semalam.

Tambah Abdul Rahman, selain itu sistem pendidikan juga perlu menggalakkan asas kemajuan kepada masyarakat dan negara.

"Kemajuan perlu sama rata bagi semua masyarakat terutama mereka di luar bandar. Jika ada pertimbangan menggunakan meritokrasi, mereka yang kurang akses pendidikan dan kemudahan di luar bandar tidak berpeluang dan akan ketinggalan.

"Oleh itu, sebelum mengusahakan sesuatu perkara lihat ketiga-tiga garis panduan ini sama ada menguntungkan perpaduan, membawa sifat nasionalisme atau kemajuan kepada negara," jelasnya.

Katanya, jika dilayan usaha pihak tertentu itu yang hanya melihat dalam skop yang kecil sudah tentu sampai bila-bila perpaduan sukar dicapai dan penerapan semangat nasionalisme serta kemajuan akan menjadi lambat.

Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa menasihatkan pihak tertentu, sebelum membuat sesuatu perkara perlu melihat impak kepada keseluruhan sistem itu secara keseluruhan bukannya hanya bagi satu pihak.

"Jangan hanya menjaga kepentingan diri sebaliknya melihat gambaran besar bagi kebaikan semua orang demi agenda negara menjadi sebuah negara maju dan bersatu padu.

"Kita sebuah negara yang berbilang kaum dan agama hendaklah mempunyai sikap toleransi, bekerjasama agar negara aman membolehkan kita untuk membangun dan maju," ujarnya. - UTUSAN  

No comments:

Post a Comment