My Add

Thursday 1 August 2013

Wanita Jepun terbabit sindiket African Scam, tipu 2 wanita

IPOH, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Seorang wanita Jepun adalah antara empat anggota sindiket African Scam yang ditahan kerana melakukan penipuan menerusi Internet ke atas dua wanita bulan lepas.

Yang lain yang ditahan ialah dua lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan yang dilaporkan melakukan penipuan berjumlah lebih RM100,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak menahan kesemua mereka yang berumur antara 30 hingga 50 tahun itu di Nilai, Negeri Sembilan pada 25 Julai lepas.

"Pihak polis yang kemudian menyerbu kediaman mereka di Bandar Nilai, menemui lima telefon bimbit, empat buku akaun bank, empat kad ATM, empat pasport, sebuah telefon talian tetap, satu modem Internet serta kotak kad nama," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, mangsa merupakan seorang jururawat berumur 32 tahun dari Taiping yang mengalami kerugian RM90,000 dan seorang guru berumur 40 tahun dari Ipoh yang mengalami kerugian berjumlah RM12,000.

Katanya, kedua-dua mangsa mengenali suspek melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini ialah dengan memikat mangsa melalui Facebook atau Twitter dan berjanji kepada mangsa untuk menghantar barangan bernilai sebagai hadiah hasil persahabatan mereka.

"Mangsa kemudian akan menerima panggilan dari individu yang menyamar sebagai ejen syarikat penghantaran atau pegawai kastam yang meminta mangsa membayar wang cukai untuk mengambil bungkusan barangan yang dijanjikan itu, dengan memasukkan wangnya ke dalam akaun bank yang diberikan.

"Mangsa akhirnya menyedari mereka telah ditipu," kata Mohd Shukri.

Beliau berkata, anggota sindiket ini bergerak sejak tiga tahun lepas dan memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pelajar yang kerap menyasar wanita bekerjaya seperti kerani, guru, dan jururawat.

Keempat-empat mereka kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Mengenai kes tembak di Parit Buntar semalam, beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan ia membabitkan kongsi gelap.

"Kita yakin berlaku perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap di kawasan berkenaan memandangkan mangsa mempunyai empat rekod jenayah lampau antaranya membabitkan dadah dan curi kereta," kata Mohd. Shukri.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu van kilang, N. Jeevandran, 26, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di persimpangan Jalan Permai Utama, Parit Buntar.

Tiga kelongsong peluru turut ditemui di tempat kejadian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment