My Add

Thursday 1 August 2013

Zamil tempelak Gobind isu CEC DAP

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo ditempelak kerana bersikap hipokrit selepas meminta polis menyiasat kes tembak membabitkan Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan tetapi hanya mendiamkan diri dalam isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP.

Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, Gobind sepatutnya lebih memperjuangkan isu penyelewengan dalam pemilihan CEC termasuk membela nasib sebanyak 753 perwakilan India yang dinafikan peluang hadir dan mengundi dalam pemilihan tersebut.

"Tindakan Gobind itu mungkin kerana Sri Sanjeevan merupakan sahabat dan penyokong beliau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang Sabtu lalu, Sri Sanjeevan, 29, cedera parah akibat ditembak dua lelaki bermotosikal ketika memandu kereta jenis BMW.

Mangsa menaiki kereta itu bersama seorang rakan dan berhenti di lampu isyarat berhampiran Taman Cempaka, Bahau, Negeri Sembilan sebelum dua lelaki berpistol melepaskan tembakan.

Isu pemilihan CEC DAP pada Disember tahun lalu pula menimbulkan keraguan kerana didakwa terdapat unsur penyelewengan oleh ahlinya sendiri selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada sebahagian perwakilan yang merupakan ahli sah dan layak mengundi hadir pada hari tersebut.

Dalam masa sama, Zamil turut mendesak Gobind menjelaskan bagaimana beliau dan bapanya, Karpal Singh boleh menang besar dalam pemilihan CEC tahun lalu.

"Apakah kemenangan beliau itu juga merupakan penipuan seperti yang didedahkan oleh Father Augustus Chen dalam buku The Equity Report?" katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment