AS tak mungkin serang Syria - Tun Dr. Mahathir
PUTRAJAYA, RABU, 04 September, 2013: Amerika Syarikat tidak mungkin menyerang Syria selepas kegagalan membawa keamanan di Iraq yang diserangnya dengan bantuan negara-negara sekutunya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, bekas Presiden Amerika George W. Bush ketika melancarkan serangan terhadap Iraq pada tahun 2003 dengan mendakwa Iraq kononnya membangunkan senjata pemusnah besar-besaran ternyata satu kesilapan besar kerana sehingga kini Iraq masih tidak aman serta senjata pemusnah itu tidak ditemui.
Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang media Cabaran Mountain Bike Antarabangsa Langkawi anjuran Human Voyage (M) Sdn Bhd (Human Voyage) di sini yang akan berlangsung pada 30 September sehingga 5 Oktober depan di Langkawi.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Malik Mydin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada); Tan Sri Khalid Ramli.
Dr. Mahathir mengulas mengenai perkembangan terbaharu di Syria yang menurut laporan berita Amerika kini bersiap sedia untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria.
"Saya tak fikir mereka (Amerika) boleh berjaya jika mereka menyerang Syria.
Presidennya Barack Obama perlu mendapat sokongan anggota Parlimen (anggota Kongres) terlebih dahulu," katanya.
Mengenai keputusan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, ia dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana bantuan subsidi di Malaysia agak tinggi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment