Dadah: Warga asing dijel, 22 sebatan
SHAH ALAM, ISNIN, 02 September, 2013: Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 12 tahun dan sebatan 22 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua kesalahan memiliki kanabis berjumlah 5,397 gram, tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian terhadap Muhammad Amin Johan, 36, setelah penganggur itu mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan pilihan tersebut.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmadi berkata, tertuduh perlu berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan kesalahan itu.
Saya rasa selepas disebat 22 kali baru kamu akan insaf dengan sebenar-benarnya," katanya.
Muhammad Amin yang mempunyai dua anak, dihukum penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali bagi pertuduhan pertama manakala penjara 12 tahun dan sebatan 12 kali bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 24 November 2012.
Sebelum itu mahkamah dimaklumkan isteri tertuduh, Rihul Jannah Iksan, 29, yang turut didakwa atas pertuduhan tersebut telah dibebaskan tahun lalu melalui representasi atas sebab kemanusiaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment