My Add

Tuesday, 3 September 2013

'Hanya buang masa kerajaan'

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 September, 2013: Sebarang usaha berdialog dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu-isu kebangsaan dilihat hanya membuang masa kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tiada keperluan bagi kerajaan untuk berbuat demikian memandangkan terdapat banyak dasar sedia ada berpaksikan rakyat untuk dilaksanakan.

"Tidak perlu berdialog dengan Anwar. Daripada berdebat dengan kerajaan, Anwar kena selesaikan dahulu isu air di Selangor.

"Kita tidak perlu melayan sangat kehendak Ketua Pembangkang ini," katanya selepas prapelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2013 di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaffar.

Mohd. Shafie mengulas cadangan Anwar supaya diadakan dialog terbuka antara kerajaan dengan pakatan pembangkang bagi membincangkan isu-isu kebangsaan yang perlu ditangani.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses meremajakan UMNO penting bukan sahaja pada parti malah pembangunan semua organisasi termasuk syarikat-syarikat di negara ini.

Proses tersebut, katanya, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan demi perkembangan potensi generasi muda.

"UMNO selama ini telah berjaya melakukan proses keremajaan. Kita boleh lihat proses itu subur dalam parti apabila boleh dilihat pemimpin-pemimpin bersilih ganti.

"Proses itu boleh meletakkan parti ke landasan yang betul yang mana anak-anak muda sama-sama terlibat dalam parti. Saya setuju saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini," katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.

Mengambil contoh pertandingan antara Dr. Mahathir dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini, katanya, pertembungan itu menyebabkan UMNO berpecah sehingga tertubuhnya Semangat 46.

"Namun begitu, pertandingan untuk jawatan selain dua jawatan tertinggi itu amat dialu-alukan tetapi perlu berteraskan demokrasi terpimpin," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment