My Add

Wednesday, 4 September 2013

Petanda akar umbi yakin kepada kepemimpinan Palanivel

KUALA LUMPUR, SELASA, 03 September, 2013: Sokongan dan mandat kuat yang diterima oleh Datuk Seri G. Palanivel untuk jawatan Presiden merupakan petanda yang cukup jelas bahawa anggota MIC di peringkat akar umbi menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kepemimpinannya untuk meneruskan agenda pembaharuan politik.

Penganalisis politik, Anbumani Balan berkata, semua pihak termasuk pemimpin dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu menghormati mandat yang diberikan kepada Palanivel bagi merangka pelan strategik politik yang terurus dan terancang dengan mendahulukan survival parti yang dapat menjamin kuasa politik masyarakat India seiring dengan proses peredaran zaman.

Katanya, secara realitinya Palanivel berdepan dengan satu tugas, tanggungjawab dan cabaran politik yang cukup mencabar untuk 'membina' semula kekuatan parti dan keyakinan masyarakat India terhadap MIC yang menjadi wakil dominan kaum itu di dalam kerajaan dan BN.

"Keputusan Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 telah memberi banyak pengajaran untuk MIC. Situasi politik juga sudah banyak berubah sejak 2007 dan kedudukan MIC tidak seperti dulu. Segala pencapaian dan sejarah lepas parti tidak boleh dijadikan modal politik untuk meraih sokongan masyarakat India dan generasi muda.

"Semua anggota MIC perlu mengakui bahawa parti itu berdepan dengan laluan getir untuk mempertahankan status politiknya sebagai wakil dominan masyarakat India di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anbumani berkata, MIC juga perlu mengorak langkah yang lebih agresif untuk meraih semula sokongan dan kesetiaan orang India di negara ini.

"Perubahan sudah mula berlaku dalam MIC dan saya yakin Palanivel memiliki perancangannya yang tersendiri untuk memperkasa, memperkukuhkan parti itu ke satu tahap yang lain selepas ini," katanya.

Menurut Anbumani, sebagai Presiden yang menerima mandat penuh dan dipilih oleh 3,702 ketua cawangan, Palanivel berhak menentukan hala tuju politik MIC.

"Kita perlu memberikan sepenuh kebebasan kepada Palanivel bagi melaksanakan segala proses penambahbaikan politik dalam MIC demi menjamin masa depan parti itu seperti yang pernah dilalui oleh pemimpin sebelum ini dalam MIC atau parti komponen BN yang lain.

"Parti komponen juga perlu menghormati pegangan politik MIC dan Presidennya. Sebagai rakan kongsi BN yang setia, ikhlas dan jujur sama ada waktu senang atau susah, kerjasama parti komponen amat diperlukan supaya mereka menghormati pegangan MIC," katanya.

Beliau berkata, percaturan politik MIC juga tidak sama seperti parti lain dan dalam suasana hari ini, Palanivel harus diberi peluang memikul tanggungjawabnya sebagai Presiden MIC yang ke-8 selepas memangku jawatan itu selama hampir dua tahun. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment