Seorang lagi tahanan polis loloskan diri di Ipoh
Oleh ASLIZA MUSA
IPOH, RABU, 04 September, 2013: Seorang orang kena tuduh (OKT) mengambil kesempatan melarikan diri daripada tahanan polis ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput Utara semasa mereka berhenti untuk pergi ke tandas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Bagan Serai semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Panner Selvam Heng Jee Kee, 42, melarikan diri dengan kedua-dua belah tangannya bergari bersama seorang lelaki yang sedia menunggu di hentian tersebut.
Tahanan tersebut melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha menghala ke persimpangan Bukit Merah di Bagan Serai dengan melawan arus trafik.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semasa kejadian, Panner Selvam yang dibawa dari Penjara Alor Setar, Kedah sepatutnya dituduh di Mahkamah Majistet Sungai Siput Utara hari ini.
Katanya, semasa dalam perjalanan, OKT itu memberitahu kepada dua anggota polis yang mengiringinya bahawa dia ingin ke tandas dan mereka berhenti di R&R Gunung Semanggol.
"Sebaik selesai ke tandas, OKT tersebut yang sedang berjalan menuju kenderaan polis bertindak menolak anggota polis terlibat sehingga terjatuh sebelum melarikan diri menaiki motosikal yang sedia menunggunya di hentian tersebut.
"Dalam kes ini, kita percaya ada komplot antara tahanan itu dan rakan sepenjenayahnya. Oleh itu, kita sedang membuat beberapa semakan untuk mengesan mereka dan kita percaya lelaki ini akan dapat diberkas segera," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, ekoran kejadian itu, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput telah menubuhkan dua pasukan khas dan gerakan mencari OKT berkenaan sedang giat dijalankan.
"Tahanan tersebut yang beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang sedang menghadapi enam lagi perbicaraan yang kebanyakannya melibatkan penipuan dalam jual beli kenderaan," katanya.
Beliau berkata, Panner Selvam mempunyai satu rekod kesalahan lampau pada 1990 di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
"Mengikut rekod, tahanan tersebut mempunyai beberapa kes melibatkan penipuan jual beli kereta dimana modus operandinya adalah memperdaya pembeli berpotensi sebelum bertindak menghilangkan diri," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai tahanan tersebut diminta menghubungi pihak polis bagi membolehkan OKT tersebut diberkas semula.
Pada 7 Januari lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment