My Add

Thursday, 5 September 2013

Transformasi koperasi

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, RABU, 04 September, 2013: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan menjalankan kerjasama strategik dalam mentransformasi anak syarikat koperasi yang berdaya maju di negara ini menjadi syarikat milik kerajaan (GLC).

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama itu termasuk memberi syor kepada kerajaan berhubung anak syarikat milik koperasi-koperasi yang berpotensi dijadikan GLC baharu menggunakan dana wakaf yang diselenggara Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Angkasa dan MPM akan bersama-sama memperhalusi koperasi yang terpilih untuk dilonjakkan menjadi GLC baharu. Kami akan melakukan mesyuarat dengan lebih kerap dalam memastikan pelaksanaan agenda ini berjaya.

"Buat masa sekarang, terdapat 10,500 koperasi di negara ini dan setiap tahun kerajaan akan mengiktiraf 100 koperasi terbaik, kita akan mencari beberapa koperasi terbaik dalam kalangan mereka ini untuk dilonjakkan sebagai GLC baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama MPM berhubung isu berkenaan di Kelana Jaya, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad.

Hasan berkata, usaha kedua-dua pihak tersebut tidak akan menjejaskan hak milik ahli terhadap koperasi berkenaan kerana sekadar melibatkan anak syarikat di bawah koperasi tersebut.

Katanya lagi, pihak pengurusan anak syarikat terbabit akan dilatih oleh MPM dan Angkasa.

Berhubung dana, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan Bajet 2013 berkenaan pelan induk wakaf korporat yang bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di negara ini.

"Pelan tersebut diharap akan membantu perniagaan serta penubuhan GLC baharu ini agar bertumbuh lebih besar selaras dengan apa yang dilakukan oleh negara-negara maju," katanya.

Kata Hasan, usaha mewujudkan sebuah GLC milik koperasi mampu mewujudkan lebih banyak kekayaan kepada semua pihak.

"Usaha ini turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini sekali gus meningkatkan sumbangan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sektor koperasi kepada RM50 bilion pada 2020 berbanding RM31 bilion pada tahun ini," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment