My Add

Tuesday, 3 September 2013

Tujuh lanun Somalia tembak ATM dijel lapan hingga 10 tahun

KUALA LUMPUR, ISNIN, 02 September, 2013: Tujuh lanun Somalia yang ditahan di Teluk Aden, dua tahun lalu dihukum penjara antara lapan hingga 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah melepaskan tembakan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap ketujuh-tujuh lelaki terbabit selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan pindaan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Somalia.

Datuk Mohd. Azman berkata, hukuman penjara adalah lebih sesuai dikenakan selepas mengambil kira pengakuan salah, kesalahan yang serius, latar belakang dan ancaman terhadap masyarakat.

Ahmed Othman Jamal, 28, Abdil Eid Hasan, 20, Abdi Hakim Mohd. Abdi, 20, masing-masing dihukum penjara 10 tahun dari tarikh ditangkap manakala empat lagi yang merupakan pesalah muda dipenjara lapan tahun dari tarikh sama iaitu 20 Januari 2011.

Mereka didakwa bersama beberapa orang yang masih bebas menggunakan senjata api dengan melepaskan tembakan ke atas ATM.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8.10 malam dan 10 malam, 20 Januari 2011 di atas kapal Bunga Laurel berkoordinat Latitud .20' 14. 73N Longitud 063' 39.96 E, 250 batu nautika dari perairan Oman bagi menghalang daripada ditahan secara sah oleh ATM.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api 1960 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 14 tahun.

Mereka sebelum ini didakwa kali pertama pada 27 Februari 2011 atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah ATM dengan niat mendatangkan kematian dan kecederaan ketika melakukan rompakan di atas kapal terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun ketika pihak pendakwaan hari ini menawarkan pertuduhan yang lebih ringan, kesemua mereka mengaku bersalah.

Terdahulu ketika rayuan mengurangkan hukuman, kesemua tertuduh yang diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan kemiskinan hidup di negara asal menyebabkan mereka terdesak untuk mencari wang bagi mendapatkan makanan.

Tertuduh pertama, Ahmed Othman menerusi peguamnya, Imran Hadzalie Abdul Hamid menyatakan anak guamnya itu telah berkahwin dan mempunyai empat anak yang tidak mampu dihantar ke sekolah.

Katanya, Ahmed bekerja sebagai buruh dengan pendapatan dolar Amerika Syarikat US$4 (RM12.24) sehari dan akibat tekanan hidup dan perang saudara yang berterusan di Somalia dia nekad untuk membawa keluarganya yang kelaparan lari ke kem pelarian di Yaman.

Imran Hadzalie turut mewakili Abdi Hakim dan seorang pesalah muda manakala empat pesalah muda lain diwakili peguam-peguam Saha Devan Arunasalam, Lee Teong Hui, Ameenudin Ibrahim dan Edmund Bon.

Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas, Lailawati Ali dan Yusaini Amer Abdul Karim.

Mohamad Abafazree dalam hujahnya berkata, mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada seluruh dunia bahawa negara ini mengambil berat kesalahan ini.

Menurut beliau, faktor tertuduh menggunakan senjata api berbahaya untuk menyerang ATM yang cuba membantu kapal Bunga Laurel yang sedang dirompak perlu diambil kira.

Mohamad Abafazree berkata, kesemua tertuduh juga telah cuba menawan anak-anak kapal apabila cuba menceroboh ke dalam tempat perlindungan anak kapal bertujuan menahan anak kapal sebagai tebusan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment