Wan Nor Azlin serah notis tunjuk sebab kepada bapa
SHAH ALAM, 04 September, 2013: Pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain telah menyerahkan notis tunjuk sebab kepada bapanya untuk menuntut penjelasan mengapa dia tidak boleh dipenjarakan berhubung isu penjualan sebuah rumah di Taman Keramat.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili Wan Nor Azlin di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ketika prosiding kes itu di hadapan Hakim Syarie, Mohamed Fouzi Mokhtar hari ini.
Peguam Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Wan Mohd. Husain, 76, mengesahkan telah menerima notis tersebut.
Bagaimanapun, beliau memohon masa untuk meneliti kes tersebut kerana baharu sahaja dilantik oleh Wan Mohd. Husain.
Hakim Mohamed Fouzi kemudian menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes dan memerintahkan pihak Wan Mohd. Husain memfailkan afidavit pembelaan dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh tersebut bagi memastikan kes berjalan lancar.
Wan Nor Azlin ketika ditemui para pemberita di luar mahkamah bagaimanapun enggan melayani sebarang pertanyaan sebaliknya hanya menyebut no comment.
Roshdan pula memberitahu, permohonan untuk mendapatkan perintah komital atau notis tunjuk sebab itu difailkan berhubung isu penjualan rumah milik anak guamnya di Taman Keramat.
Pada 31 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan permohonan Wan Nor Azlin untuk mengetepikan saman bapanya yang mahu mendapatkan perintah supaya pelakon itu mengosongkan rumah berkenaan.
Wan Mohd. Husain dalam writ saman yang difailkan pada 5 Februari lalu mendakwa, dia ingin menjual rumah yang mereka duduki bersama di Taman Keramat dan mahu pelakon itu keluar dari rumah tersebut.
Namun Wan Nor Azlin enggan berbuat demikian kerana ada kepentingan selepas memasang kabinet dapur dan almari pakaian walaupun dibuat atas kehendak bapanya sendiri. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment