My Add

Sunday, 2 March 2014

Kemampuan kerajaan urus ekonomi manfaatkan rakyat

 * NAJIB Tun Razak bersama Mukhriz Tun Mahathir melihat model rumah PR1MA sambil diperhatikan Abdul Mutalib Alias dan Dr. Jamaluddin Jarjis pada majlis pelancaran perumahan PR1MA pertama Kedah di Bandar Utama Sidam Kiri, Sungai Petani, semalam. - MINGGUAN/SAFRIZAL AZMI
SUNGAI PETANI, SABTU, 01 Mac, 2014: Kemampuan kerajaan menguruskan ekonomi negara dengan baik selama ini membolehkan rakyat meraih banyak manfaat daripada pelbagai projek yang dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan tersebut amat penting bagi memastikan kerajaan menunaikan janjinya agar rakyat dapat hidup dalam keadaan lebih sejahtera.

Malah, katanya, langkah menjalankan perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat turut membolehkan kerajaan mencari pendekatan baharu untuk kepentingan rakyat termasuk projek perumahan mampu milik.

"Setiap idea sememangnya memerlukan perbelanjaan, kita tak boleh tambah hutang negara. Kalau tambah buruklah kesannya. Sebagai contoh, menguruskan rumahtangga juga tak banyak beza daripada prinsipnya menguruskan negara.

"Kalau hutang bertambah lagi, apabila pergi ke bank, maka mereka tak lulus pinjaman. Di peringkat kerajaan pula kalau berhutang, kita kenalah cari pihak untuk buat pinjaman. Seperti biasa kata orang barat, tiada benda yang boleh kita makan secara percuma. Apabila kita pinjam daripada IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) misalnya, macam-macam kaedah yang dikenakan seperti faedah naik, kos bertambah dan sebagainya.

"Namun, Alhamdulillah kita setakat ini berjaya uruskan ekonomi negara dengan baik. Antaranya pelaburan swasta mencatat jumlah tertinggi iaitu lebih RM216 bilion. Ini merupakan petunjuk bahawa swasta yakin dengan kemampuan kerajaan uruskan kewangan dengan baik," katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin dalam majlis pelancaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) peringkat negeri Kedah dan pecah tanah projek PR1MA Bandar Utama sebanyak 1,349 unit di Jalan Sidam Kiri, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah kerajaan, Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan rakyat selaras dengan gagasan yang diperkenalkan beliau selaku ketua kerajaan iatu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Bila saya sebutkan ungkapan itu, saya tak mahu ia dibuat tanpa sebarang pengisian. Sebaliknya, saya selalu tegaskan pengisiannya mesti dalam bentuk produk-produk yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan kesejahteraan rakyatlah yang mesti kita dahulukan," katanya.

Bagaimanapun katanya, ada sesetengah pihak dikesan cuba mengelirukan rakyat termasuk mempersoalkan langkah kerajaan mengurangkan subsidi ke atas barangan.

"Mereka kata dengan langkah kerajaan kurangkan subsidi seolah-olah susahkan rakyat dan ini bertentangan dengan falsafah rakyat didahulukan. Namun, saya nak terangkan sebagai sebuah kerajaan kita perlu mengukuhkan ekonomi negara.

''Ini bererti bahawa kita mesti tambah hasil negara dan pada masa sama mengurangkan pembaziran dan ketirisan. Kita kini cuba membuat sesuatu yang mengena kepada sasarannya yakni memberi keuntungan kepada rakyat ramai," jelasnya.

Mengenai projek rumah mampu milik, Najib berkata, perkara berkenaan merupakan salah satu agenda paling utama yang dipegang dan perlu dikotakan BN.

Katanya, dalam manifesto atau akujanji yang diberikan sempena Pilihan Raya Umum Ke-13, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sejuta rumah untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sebanyak 500,000 unit daripada itu rumah adalah jenis mampu milik. Ini merupakan satu tanggungjawab kerajaan bagi memastikan ia dibina dan setakat ini, kita berjaya laksanakannya secara berperingkat. Saya juga mengambil keputusan untuk mempengerusikan Majlis Perumahan Negara dan majlis ini akan pantau dari semasa ke semasa untuk memastikan sasaran tercapai.

"Di Kedah misalnya, PR1MA telah meluluskan 13,000 unit di enam buah daerah setakat ini. Secara keseluruhan, PR1MA akan membina 20,000 unit di negeri ini. Ini bermakna hanya 7,000 unit lagi sedang ditinjau untuk melengkapkan sasaran," katanya.

Najib berkata, setiap rumah yang dibina menerusi PR1MA mesti dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM20,000 lebih rendah daripada pasaran.

Sebagai contoh katanya, rumah teres setingkat bagi projek PR1MA Bandar Utama Sungai Petani dijual dengan harga RM118,000 berbanding harga pasaran RM141,000 manakala rumah teres dua tingkat PR1MA dengan harga RM212,000 (harga pasaran RM253,000). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment