Pelbagai kemungkinan selepas ACARS, transponder dipadamkan
KUALA LUMPUR, SABTU, 15 Mac, 2014: Terdapat pelbagai kemungkinan berlaku terhadap pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu termasuk rampasan di dalam pesawat berkenaan.
Pakar penerbangan, Dr. Mohd. Roshdi Hassan berkata, ini kerana kawalan penerbangan hanya boleh dilakukan melalui sistem kawalan utama di dalam pesawat.
Menurut beliau, teori yang mendakwa pesawat tersebut boleh dirampas menggunakan Sistem Kawalan dan Amaran Udara (AWACS) dari lokasi lain, agak sukar diterima.
"AWACS hanya boleh menyebabkan berlaku gangguan pada sistem pesawat sahaja dan bukan mengawalnya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan siasatan terkini berhubung kehilangan pesawat MH370 menunjukkan terdapat kepastian tinggi bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) serta transponder dalam pesawat tersebut telah dipadamkan.
Najib berkata, ACARS telah dipadamkan sebelum pesawat MH370 tiba di pantai timur Semenanjung manakala transponder pula dipadamkan tidak lama kemudian iaitu berhampiran kawasan sempadan kawalan udara antara Malaysia dan Vietnam.
Walau bagaimanapun, Mohd. Roshdi memberitahu, sukar ditentukan destinasi yang ditujui MH370 selepas komunikasi terakhir antara pesawat terbabit dan satelit direkodkan pada pukul 8.11 pagi 8 Mac lalu.
"Berapa jauh pesawat itu boleh terbang juga tidak dapat dipastikan kerana kita tidak tahu paras minyak yang berbaki pada pukul 8.11 pagi," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Teknologi Wayarles Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman memberitahu, radar primer masih boleh mengesan ada objek di udara walaupun selepas transponder dipadamkan.
Namun jelas beliau, pusat kawalan udara tidak dapat menentukan jenis objek yang dikesan berada di ruang udara itu.
"Memang radar tentera telah mengesan ada objek di sekitar kawasan utara Selat Melaka yang kemudiannya disahkan sebagai pesawat MH370 tetapi tidak dapat mengenal pasti identitinya kerana transponder dipadamkan," ujarnya.
Menurut Tharek, keupayaan radar primer agak terhad dan bergantung pada isyarat yang dipantulkan dari objek ke pusat kawalan.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Mohamed Tarmizi Ahmad berkata, pesawat MH370 boleh berada di mana-mana sahaja termasuk di rantau Asia Barat memandangkan tiada tanda-tanda menunjukkannya terhempas.
Jelas beliau, pesawat berkenaan mungkin terbang di Lautan Hindi sebaik sahaja melepasi sempadan Malaysia-Thailand.
"Sekiranya pesawat MH370 kekal terbang pada jarak melebihi 250 batu nautika dari pantai, agak sukar untuknya dikesan oleh radar," katanya.
Mohamad Tarmizi berkata, individu yang melencongkan laluan penerbangan pesawat MH370 telah mengkaji semua aspek dan tahu arah mana yang perlu dituju. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment