My Add

Sunday, 16 March 2014

Singapura terus sokong usaha Malaysia

SINGAPURA, SABTU, 15 Mac, 2014: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, republik itu bersedia menghulurkan sebarang bantuan bagi menyokong usaha Malaysia dan negara-negara lain untuk mencari dan mengesan pesawat MH370.

Lee berkata demikian dalam suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China, Li Keqiang bagi menyampaikan keprihatinan Singapura berhubung pesawat itu.

Teks surat bertarikh semalam dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar hari ini.

Dalam suratnya kepada Najib, Lee berkata: "Saya begitu sedih dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang masih hilang. Bagi pihak rakyat dan kerajaan Singapura, saya melahirkan rasa penuh keprihatinan berhubung keselamatan penumpang dan anak kapal, dan juga solidariti kami dengan keluarga mereka.

"Selepas kami berbual melalui telefon pada 8 Mac, Singapura telah menggerakkan pesawat dan kapal untuk menyertai usaha mencari pesawat yang hilang itu.

"Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dalam usaha mencari dan mengesan lokasi, dan berharap pesawat yang hilang itu akan dikesan tidak lama lagi. Seperti yang saya maklumkan kepada anda minggu lepas, kami bersedia memberikan sebarang sokongan yang boleh membantu dalam usaha ini."

Sementara itu, dalam suratnya kepada Perdana Menteri China, Lee berkata: " Sudah hampir seminggu sejak penerbangan MH370 hilang dengan lebih 150 warga China dalam pesawat."

Beliau berkata, beberapa orang daripada mereka dilaporkan bekerja atau belajar di Singapura.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Singapura, saya melahirkan rasa keprihatinan kami yang begitu mendalam bagi penumpang dan keluarga mereka.

"Singapura sedang membantu Malaysia untuk mengesan pesawat yang hilang itu.

Kami akan terus membantu usaha yang sedang dijalankan oleh Malaysia dan negara-negara lain termasuk China, untuk mencari pesawat itu secepat yang boleh," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment